Titik buta merupakan salah satu faktor berlakunya kemalangan apabila pemandu atau penunggang tidak dapat melihat kenderaan lain. Akibatnya, berlaku pelanggaran ketika keluar simpang ataupun menukar lorong di jalan raya.
Oleh itu, selain melekatkan cermin bulat pada cermin sisi kereta, penunggang motosikal juga boleh melaraskan cermin motosikal mereka pada sudut terbaik bagi mendapatkan pandangan belakang yang lebih jelas, sekaligus meminimakan kawasan titik buta.
Caranya, pastikan pandangan pada setiap cermin sisi kiri dan kanan motosikal anda berbeza (Rider Magazine, 2018). Tanya diri anda soalan berikut:
- Adakah pandangan cermin kiri sama dengan cermin kanan?
- Berapa luas pandangan yang boleh dilihat dalam kedua-dua cermin?
- Jika kedua-duanya menunjukkan imej yang sama, laraskan cermin anda ke luar untuk mendapatkan pandangan lebih luas.

Larasan ke luar boleh meluaskan lagi sudut pandangan anda, membuatkan anda boleh melihat sesuatu kenderaan secara terus dalam kedua-dua cermin dengan pertindihan minima.
Cermin kiri patut menunjukkan lebih banyak kawasan di sebelah kiri dan cermin kanan pula sepatutnya menunjukkan lebih banyak pantulan imej dari sebelah kanan.
Macam mana nak tahu jika anda berada di titik buta kenderaan lain?
Berapa banyak kemalangan kita saksikan melibatkan motosikal apabila kenderaan di hadapan tidak dapat melihat penunggang yang berada di titik buta.
Oleh itu, jika anda sebagai penunggang motosikal, bagaimana anda boleh pastikan sama ada anda berada di dalam titik buta atau boleh dilihat pemandu kenderaan lain sebelum memintas?
Caranya, lihat cermin sisi mereka. Jika anda tidak dapat melihat pemandu, bermakna anda berada pada kawasan titik buta dan mereka tidak sedar kewujudan anda. Hati-hati.
Sumber: Rider Magazine