Siakap Keli
Gambar Via Green Valley Fire/NDTV

(Video) ‘Mudah’ Remuk Tapi Boleh Selamatkan Nyawa, Kenali “Crumple Zone” Yang Ada Pada Kenderaan

Selain reka bentuk yang cantik dan prestasi pemanduan yang terbaik, sesebuah kereta sememangnya perlu mempunyai ciri-ciri keselamatan yang mampu mencegah kemalangan yang teruk. Disebabkan itu, berlakunya perkembangan evolusi teknologi keselamatan pada kereta sejak beberapa dekad yang lalu.

Salah satu ciri keselamatan yang biasanya diterapkan pada kereta adalah crumple zone atau zon remuk yang direka untuk membantu melindungi pemandu dan penumpang sekiranya terlibat dalam kemalangan.

Apa itu zon remuk?

Bagi yang belum tahu, zon remuk adalah bahagian kenderaan yang biasanya terletak di depan dan belakang yang dirancang untuk menyerap tenaga kinetik semasa kemalangan, membuatkannya mudah remuk dan hancur.

Ia sengaja dicipta sedemikian bagi mengurangkan impak pelanggaran pada ruang tempat duduk pemandu dan penumpang, sekaligus boleh menyelamatkan nyawa.

Gambar Via Brain Study Info

Menurut Economical, ia juga berkait dengan teori fizik iaitu jika kenderaan bergerak dengan kelajuan 80km/j melanggar sesuatu dan berhenti secara tiba-tiba, sesiapa yang berada di dalam kenderaan akan terus bergerak mengikut kelajuan tersebut sehingga ada sesuatu yang menghentikan mereka seperti beg udara, tali pinggang keledar atau papan pemuka.

Justeru, zon remuk ini menjadi penahan di sekitar kenderaan yang membantu meredakan pelanggaran dan membuatkan ia berhenti secara relatif atau perlahan.

Walaupun ia menyebabkan kerosakan yang teruk pada kereta tetapi ia boleh mencegah kecederaan yang serius dan bahkan boleh menurunkan kadar kematian dalam kemalangan.

Pembuatan zon remuk

Reka bentuk zon remuk kebiasaannya merangkumi segmen bingkai yang dibina untuk membengkok di bahagian tertentu. Sementara itu, reka bentuk yang lebih maju pula memperlihatkan penggunaan logam dan bahan lain yang secara khusus direka untuk menyerap tenaga sebanyak mungkin.

Tidak cuma itu, zon remuk pada kenderaan yang berprestasi tinggi juga sering menggunakan reka bentuk yang diinspirasi dari sarang lebah yang ‘kaku’ dalam keadaan normal dan remuk dalam keadaan pelanggaran.

Tentunya, jurutera perlu mempertimbangkan banyak faktor dalam merancang fungsi tersebut termasuk ukuran dan berat kenderaan, ‘kekakuan’ bingkai dan tekanan yang dihadapi ketika kemalangan.

Jadi, korang jangan pelik jika sesebuah kereta berjenama sering mengalami kerosakan yang teruk pada bahagian hadapan dan belakang. Ia sememangnya mudah remuk tetapi boleh menyelamatkan nyawa.

Sumber: Economical, Detikoto

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.