Lelaki yang mengamuk di atas kereta peronda polis di hadapan Balai Polis Gopeng, Perak seperti yang tular di media sosial hari ini, didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu) dan heroin berdasarkan hasil ujian air kencing yang dijalankan.
Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan yang dilakukan oleh pihak polis juga mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau bagi kesalahan jenayah dan narkotik.
”Turut dirampas bersama-sama suspek ialah sebilah parang, sebilah sabit panjang, sebuah motosikal dan empat bilah kunci,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Menurutnya, suspek yang merupakan seorang lelaki berbangsa Cina berusia lingkungan 61 tahun itu telah memasuki kawasan balai polis dengan menaiki motosikal sekitar 8 pagi tadi.
Suspek yang membawa bersamanya sebilah parang dan sabit dilihat melibaskan alatan tajam tersebut di hadapan pintu masuk pejabat pertanyaan balai sebelum cuba ditenangkan oleh pegawai polis.
“Suspek telah bertindak keluar dari kawasan balai dan menuju ke Jalan Ipoh – Kuala Lumpur namun telah disekat oleh pihak polis di hadapan balai polis tersebut.
“Sebuah kereta peronda (MPV) Balai Polis Gopeng telah diletakkan di tengah jalan sebelum itu bagi tujuan menghalang daripada orang ramai melalui kawasan terbabit.
“Suspek kemudiannya meluru ke arah kenderaan tersebut dan memanjat bumbung kenderaan serta melibaskan parang dan sabit yang dibawa bagi mengelakkan dirinya didekati oleh pihak polis,” katanya.
Susulan itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit kemudian bagi membantu tangkapan.
”Suspek telah berjaya ditahan setelah pihak bomba memancutkan air ke arah suspek yang kemudiannya telah jatuh ke atas jalan.
”Suspek kemudiannya didapati mengalami kecederaan daripada proses tangkapan tersebut.
”Video kejadian tangkapan tersebut telah dikesan telah tular di media sosial sejurus tangkapan tersebut dilakukan,” ujarnya.
Tambah Mior Faridalathrash, berdasarkan maklumat awal, suspek telah mengamuk serta merampas motosikal milik orang awam di kawasan Pasar Awam Lawan Kuda, sebelum menuju ke kawasan perumahan KOPISAN dan masuk ke balai polis tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Kenyataan media Polis Perak