Siakap Keli
Gambar: Masdura Selamat

Resipi ‘Wetfood’ Kucing Jimat & Mudah, Hanya Guna Kangkung, Ikan & Agar-Agar

Terdapat banyak jenis makanan kucing yang dijual di pasaran. Sama ada dipek dalam tin, paket kecil, bungkusan plastik dan sebagainya. Makanan kucing pula umumnya ada dua jenis, iaitu makanan kering dan makanan basah.

Mengenai makanan basah, biasanya bahan utama yang digunakan adalah ikan kembung, ikan tuna dan ayam. Harganya pula mungkin sedikit mahal. Ini sudah tentu membuatkan pemilik kucing perlu berbelanja lebih untuk makanan si bulus mereka.

Tapi tahukah anda, sebenarnya kita pun boleh membuat makanan kucing (jenis basah) di rumah sendiri. Apatah lagi sumber bahan-bahannya lebih diyakini bersih, selamat dan halal di sisi orang Islam.

Inilah seperti yang dikongsikan oleh pemilik kucing, Masdura Selamat baru-baru ini mengenai resipi mudah buat makanan kucing guna tiga bahan asas, iaitu sayur, ikan dan agar-agar. Jom ikuti perkongsiannya di bawah ini.

Resipi mudah & jimat buat makanan kucing guna kangkung + ikan

Hari ini aku nak share dengan korang cara nak berkongsi kasih sayang sesama makhluk. Mungkin ada antara kita yang was-was dengan makanan kucing yang sedia terjual (entah binatang apa yang diproses, entah bahan apa yang digunakan).

Harga untuk support 5 ekor bulus mungkin tak mampu. Itu pun penting untuk diambil kira. Kalau macam tulah keadaannya, eloklah korang cuba resipi ni. Makanan yang diproses sendiri. Sah halal, berkhasiat dan terjamin kebersihannya. Ada protein ada vitamin.

InsyaAllah. Ada jugak pulangan rezeki untuk korang melalui anak-anak bulus itu. Yakin. Resipi ni tak ada sukatan khusus. Aku guna kaedah ‘mak-mak’, main agak-agak. Lihat gambar untuk lebih faham. Kalau korang juga buat cara yang sama, kita geng.

Gambar: Masdura Selamat

Ini Openg, anak Timah. Paling halus tapi paling aktif. Timah ada 3 ekor anak kandung dan seekor anak susuan.

**nota: si Openg ni bukan bahan-bahan ye. Bahan sebenar bermula di bawah.

1) Rebus kangkung & tos

Gambar: Masdura Selamat

Kali ni aku guna kangkung. Beli satu ikat. Dah potong-potong, cuci dan rebus. Sayur bayam pun ok, kalau ada. Guna satu jenis sayur setiap kali proses. Jangan campur-campur.

Bila merebus, jangan sampai benyek pulak ye. Sedang-sedang elok je hasil rebusannya. Dah siap rebus, toskan.

2)  Rebus ikan & buang tulang

Gambar: Masdura Selamat

Kemudian rebus ikan. Kali ni aku guna ikan kembung, 10 ekor. Lebih kurang RM8. 

Entah, aku sejenis yang suka buang tulang ikan setiap kali nak bagi diorang makan. Sebab, aku kesian kalau tengok diorang tercekik tulang.

Susah payah nak jeluakkan tulang tu. Aku bayangkan diorang macam anak-anak aku jugak wei. Sayang!

3) Kisar ikan & sayur

Gambar: Masdura Selamat

Lepas tu blend semua. Aku blend 3 suku hancur. 

Ini keputusannya. Dah siap, ketepikan dulu.

4) Rebus agar-agar & campurkan dengan bahan tadi

Gambar: Masdura Selamat

Ini agar-agar. Aku beli satu paket. Rebus agar-agar ni dengan sedikit air hingga larut.

Bila agar-agar sudah larut, masukkan bahan yang dah dikisar tadi. Kacau bagi rata. 

Bahan ini akan memekat bila dah bercampur dengan agar-agar. Tunggu sampai sekali gelegak. Tutup api.

5) Siap & boleh hidang

Gambar: Masdura Selamat

Ini hasil akhir. Tub ni besar, so makanan kucing tu nampak sikit. Tapi aku anggarkan ini cukup untuk seminggu.

Bila sejuk, ia akan jadi kental. Sama keadaannya macam makanan dalam tin tu. Bila nak, scoop je.

Simpan dalam peti ais, ye. Dah siap, ready untuk dihidangkan. Nampak suci, kan? Haha.

Makanan ni boleh diberi macam tu saja atau nak jimat, boleh digaul dengan sedikit nasi (maklumlah, kucing kampung. Nasi tak boleh tinggal).

Selamat mencuba uolls. Semoga bermanfaat.

**sila klik pada gambar untuk menonton video ini.

Sumber: Masdura Selamat

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'