Siakap Keli
Gambar Via Tribun News

Lelaki Cemas, Lantai Rumah Keluarkan Haba Panas Misteri, Penyiasat Kata “Benda Ni Tak Normal”

Sebuah rumah penduduk di Desa Kedaton, Kalianda, Lampung dilaporkan mengeluarkan haba yang misteri dari bawah lantai, lapor Tribun News.

Sukarman, 61, mengatakan bahawa keadaan panas tersebut tiba-tiba berlaku di rumahnya.

“Saya sedar mengenai lantai yang panas itu ketika selesai bersolat. Saya membaringkan badan untuk sementara dan terasa baik, seperti diurut,” katanya.

Difahamkan, ‘fenomena’ haba di rumahnya itu telah berlaku selama lebih kurang seminggu.

Dia kemudian melakukan ‘eksperimen’ untuk melihat sama ada panas tersebut datang dari gas asli atau tidak iaitu dengan meletakkan anak ayam di dalam bilik semalaman.

Gambar Via Tribun News

“Beberapa hari kebelakangan ini, ketika hujan turun, intensiti panas meningkat. Saya menjadi cemas, takut sesuatu akan berlaku.

“Kemudian saya cuba meletakkan seekor anak ayam di ruang solat dan ia nampaknya semakin sihat,” katanya.

Tidak cuma itu, Sukarman juga telah meletakkan tuala basah di ruang solat itu dan dalam dua jam ia telah kering.

Dia berharap agar pihak yang berkaitan segera datang memeriksa keadaan aneh yang berlaku di rumahnya itu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Bomba dan Penyelamat Kabupaten Lampung Selatan, Rully Fikriansyah, mengatakan bahawa dia telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan telah memeriksa rumah itu.

“Setelah diperiksa, memang betul haba panas datang dari dalam ruangan.

“Tidak ada bau belerang di dalam rumah. Kerana panas, suhu bilik menjadi tidak normal, ia sememangnya panas yang tidak sepatutnya berlaku. Tetapi, itu bukan dari gas,” katanya.

Menurutnya, sangkaan pihaknya adalah panas tersebut datang dari aliran sulfur di Gunung Rajabasa.

“Tetapi, kami mengesyakinya sahaja, kami tidak berani untuk membuat kesimpulan,” katanya.

‘Fenomena’ itu masih lagi disiasat dan dilaporkan kepada Pejabat Tenaga dan Sumber Daya Mineral Wilayah Lampung.

Sumber: Tribun News

Sofea

There's always another side to every story