Siakap Keli

(Video) Detik Cemas Kambing & Ayam Jantan Selamatkan Ayam Betina Dari Terkaman Helang

Biasanya dalam rancangan dokumentari haiwan seperti Nat Geo Wild, kita sering menonton aksi-aksi ngeri seperti pertarungan haiwan, pemangsa memburu dan membunuh mangsa, pergelutan merebut takhta dan banyak lagi.

Namun baru-baru ini, tular di media sosial mengenai sebuah video yang memaparkan aksi ‘ngeri’ melibatkan beberapa ekor haiwan di sebuah kandang. Lokasi tepatnya tidak dapat dikenal pasti, namun dipercayai berlaku di luar negara.

Dalam video yang dimuat naik di Twitter Buitengebieden itu, pada awalnya kelihatan seekor ayam betina sedang tenang memakan rumput di kawasan sekitar kandang tersebut secara bersendirian.

Namun tiba-tiba, muncul seekor burung helang terjun menerjah ke kandang dipercayai mahu menerkam ayam betina tersebut. Situasi yang tenang tadi terus bertukar menjadi kecoh sekelip mata.

Ayam dan helang berkenaan didapati saling bergelut antara satu sama lain hingga berguling-guling di atas tanah. Si helang agak rakus mengganas, sementara si ayam pula berhempas-pulas cuba menyelamatkan diri.

Bagaimanapun ‘pekikan’ kokokan ayam betina tersebut akhirnya didengari ‘rakan-rakannya’ di kandang itu. Tidak semena-mena, muncul seekor ayam jantan berlari ke arah pergelutan ganas itu untuk menyelamatkan mangsa.

Dalam ketika si ayam jantan mengganas melawan helang tersebut, tiba-tiba seekor kambing jantan datang meluru ke arah helang dengan begitu pantas ekoran melihat ‘rakannya’ hampir dibunuh.

Menariknya, si kambing jantan itu tidak sia-siakan peluang yang ada. Bagaikan mata pedang yang tajam, kambing tersebut dilihat berkali-kali merempuh dan menghunus kedua-dua tanduknya pada badan helang berkenaan.

Namun, sifat ganas yang dimiliki helang itu terhenti. Setelah banyak kali diserang dengan taji ayam jantan dan tanduk kambing itu, akhirnya helang pemangsa tersebut terpaksa mengalah dan terbang semula ke udara melarikan diri.

Video tersebut tular dan telah ditonton lebih 4.6 juta kali setakat artikel ini ditulis. Rata-rata netizen turut berasa kagum dengan apa yang berlaku di kandang itu, malah mereka turut berasa ‘terharu’ dengan dua hero berkenaan.

Sumber: Twitter Buitengebieden

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'