Siakap Keli
Gambar Via The Sun

(Video) Terpisah Dari ‘Keluarga’, Kisah Morgan Si Ikan Paus Lompat Keluar Dari Tangki, Disyaki Cuba Bunuh Diri Kerana Tertekan Hidup Terkurung

Baru-baru ini tular kembali mengenai satu video yang memaparkan seekor paus yang berusaha melompat dari tangki di Zoo Loro Parque di Sepanyol.

Detik-detik memilukan itu mendapat perhatian para aktivis dan mereka mengesyaki ia merupakan satu cubaan bunuh diri.

Video yang dirakam pada tahun 2016 itu memperlihatkan ikan paus yang dinamakan sebagai Morgan tidak bergerak selama sepuluh minit ketika ia terbaring di tepi tangki.

Ramai juga netizen yang melihat video itu mengatakan bahawa Morgan cuba untuk membunuh diri kerana tidak suka dikurung di situ.

Bagaimanapun, ia telah dinafikan oleh penjaga zoo dan menegaskan bahawa tingkah laku haiwan itu adalah ‘normal’.

Dalam masa yang sama, satu lagi video muncul di media sosial yang menunjukkan Morgan berulang kali menghentak kepalanya ke pintu besi.

Gambar Via The Sun

Ditangkap pada tahun 2010

Difahamkan, Morgan telah ditangkap di Laut Wadden, berdekatan Belanda dan dimasukkan ke dalam zoo tersebut pada tahun 2010 kerana ia didapati kekurangan zat makanan dan dalam keadaan yang tidak baik.

Penangkapan haiwan laut itu juga sebenarnya sudah menjadi perdebatan antara organisasi dan aktivis hak haiwan yang berpendapat bahawa orca itu sepatutnya tidak dikurung.

Ada juga dakwaan yang mengatakan Morgan sepatutnya dilepaskan semula ke laut dan tidak dipamerkan kepada umum. Namun, ia tetap ditempatkan di zoo itu dan menjadi salah satu tarikan pengunjung.

Pihak zoo pula menjelaskan bahawa Morgan tidak boleh dilepaskan semula ke dalam laut kerana ia pekak dan tidak akan bertahan lama di situ.

Sementara itu, rakaman yang dikeluarkan oleh The Dolphin Project itu menunjukkan Morgan terbaring di tepi tangki konkrit sepanjang 100 meter dan dengan kedalaman 12 meter, di bawah papan tanda yang tertera ‘Loro Parque’.

Morgan masih kekal di zoo itu sehingga ke hari ini danĀ  difahamkan ia mengalami detik ‘pilu’ apabila kehilangan anaknya pada bulan lalu.

Sejak beberapa tahun lalu, banyak laporan berkaitan paus dalam kurungan yang menunjukkan tingkah laku ke arah mencederakan diri sendiri seperti menghentak kepala pada tangki.

Malah, ikan paus bernama Kiska juga telah bertindak menghentak kepala pada tangki dan rakaman kejadian itu tular sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, tingkah laku itu juga dikesan pada paus yang tinggal di lautan dan pakar mengesyaki bahawa ia ada kaitan dengan kekeliruan dan penyakit yang dialami mereka.

Sumber: The Sun

Sofea

There's always another side to every story