ALOR SETAR, 23 Sept (Bernama) — Pelancong yang hendak mengunjungi Langkawi menggunakan perkhidmatan feri di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini disaran membuat saringan awal bagi mengesan COVID-19, sebelum berlepas.
Timbalan Ketua Polis Kota Setar Supt Mohd Redzuan Salleh berkata langkah itu bagi mengelak kesesakan serta mempercepatkan proses saringan yang dijalankan di terminal itu bagi individu yang hendak ke pulau peranginan itu di bawah projek rintis gelembung pelancongan.
“Saranan saya, buatlah ujian siap-siap kerana kita nak cepat dan pantas. Kita sudah sediakan laluan ‘fast-lane’ kepada individu yang sudah mempunyai keputusan ujian agar perjalanan tidak terganggu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Terminal Feri Kuala Kedah di sini hari ini.
Menurutnya, pada pembukaan semula terminal feri berkenaan hari ini yang sebelum ini tidak beroperasi sejak 6 Sept lepas, didapati hanya 59 daripada 200 penumpang membuat ujian pengesanan wabak itu lebih awal.
“Berdasarkan pemerhatian kita, proses saringan di sini berjalan lancar, namun kami dapati masih ramai penumpang tidak membuat ujian pengesanan COVID-19 lebih awal, walaupun mereka boleh beli kit ujian di farmasi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata seramai 120 petugas terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Kementerian Kesihatan ditugaskan mengawal selia penumpang di terminal feri itu.
Terminal feri tersebut sebelum ini ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Kedah selama 14 hari bermula 6 hingga 19 Sept dan dibuka semula hari ini dengan satu trip perjalanan sehala.
Sumber: BERNAMA