Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Hari Bahagia Bertukar Tragedi, Pengantin Lelaki Alami Patah Tulang Belakang Selepas ‘Dicampak’ Oleh Rakan-Rakannya

Seorang pengantin lelaki dilaporkan patah tulang belakang kerana rakan-rakannya gagal menyambutnya selepas dicampak di dalam satu majlis perkahwinan.

Detik mengerikan itu berjaya dirakam oleh kamera. Dalam video tersebut, dapat dilihat bahawa pengantin perempuan sedang menari dengan gembiranya sebelum kemalangan yang membabitkan suaminya bernama Liviu Filimon berlaku beberapa saat kemudian.

Dia sempat berpaling ke arah kumpulan rakan-rakan suaminya semasa mereka sedang melemparkan Filimon ke udara sebelum cuba untuk menangkapnya semula.

Namun, semasa lemparan kedua, rakan-rakannya gagal menyambut Filimon. Akibat daripada itu, dia telah terjatuh dan kepalanya terhempas ke lantai terlebih dahulu.

Pengantin perempuan yang terkejut akan insiden itu terus meluru ke arah suaminya sebelum video tersebut berakhir.

 

Menurut Daily Mail, keadaan dikatakan bertambah buruk selepas rakan-rakannya bertindak mengangkat Filimon dan meletakkan di kerusi sebelum pasukan paramedik tiba di tempat kejadian.

Insiden itu dilaporkan berlaku di majlis perkahwinan yang diadakan di dewan acara Castello di resort Baile Felix, Romania pada Jumaat malam.

Filimon yang berasal dari daerah Bihor di barat laut negara itu, dilaporkan sedang dirawat kerana patah tulang belakang di Emergency County Hospital di Oradea berikutan kejadian itu.

Media tempatan melaporkan bahawa majlis perkahwinan tersebut tetap diteruskan walaupun Filimon telah dibawa ke hospital, sambil pengantin perempuan dan kedua-dua keluarga berusaha untuk melayan para tetamu.

Dr Lucia Dania memaklumkan pada media tempatan bahawa Filimon telah ‘patah tulang belakangnya’, sambil menambah: “keadaannya bertambah baik.”

“Dia telah dimasukkan ke wad neurosurgery dan minggu depan dia akan menjalani ujian lebih lanjut,” katanya.

Filimon difahamkan masih memikirkan sama ada mahu menyaman rakannya atau pun tidak kerana kecederaan yang dialaminya dengan menyatakan: “Saya telah menghubungi seorang peguam, tetapi saya masih mempertimbangkan apa yang akan saya lakukan.”

Dia dilaporkan menyatakan bahawa dia boleh menggerakkan tangannya namun tidak dapat menggerakkan kakinya susulan daripada kejadian itu.

Sumber: Daily Mail

" "