Siakap Keli
Kredit: Google

Tujuh Ditahan, Sindiket Judi Dalam Talian Tumpas

JOHOR BAHRU, 27 Sept (Bernama) — Polis menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian dengan penahanan enam lelaki dan seorang wanita dalam serbuan ke atas sebuah unit pangsapuri di Persiaran Southkey dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata semua mereka yang berumur antara 18 dan 34 tahun ditahan kerana berperanan sebagai operator tambah nilai kredit dan cuci kredit, di samping menjadi perantara dengan pelanggan.

Beliau berkata sindiket yang telah beroperasi sejak Jun lepas menyasarkan pelanggan tempatan melalui dua laman sesawang www.topup99.com serta www.lagiong.com dengan segala transaksi dalam kegiatan itu dilaksanakan melalui perbankan dalam talian melibatkan beberapa akaun yang dikenal pasti sebagai akaun bank Malaysia.

“Sindiket ini mempunyai pelanggan yang dianggarkan sekitar 7,000 orang dengan kutipan harian antara RM15,000 hingga RM20,000. Turut dirampas dalam serbuan ini ialah enam set komputer, 35 buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua buah modem wifi dan serangkai kunci rumah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.