Siakap Keli
Sumber: Sinar Harian

Dilanda Banjir & Tanah Runtuh, Sekurang-kurangnya 27 Nyawa Terkorban Di Kerala

NEW DELHI: Hujan lebat yang menyebabkan banjir dan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kerala, India dilapor meragut sekurang-kurangnya 27 orang dan ramai lagi hilang.

Selain menyebabkan korban nyawa, banjir buruk itu turut mengakibatkan kerosakan rumah, bangunan, jambatan dan jalan raya di negeri berkenaan.

Menurut media tempatan, Idukki dan Kottayam merupakan dua bandar yang paling teruk terjejas. Helikopter tentera India juga digunakan dalam misi menghantar bekalan bantuan dan menyelamat mangsa. Angka kematian dijangka meningkat kerana terdapat berpuluh-puluh penduduk yang dilaporkan masih hilang.

“Kami akan sentiasa memantau keadaan di beberapa kawasan di Kerala ekoran hujan lebat dan banjir. Kerajaan pusat akan menyediakan semua sokongan yang mungkin dapat membantu mereka yang memerlukan”, kata Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah.

Agensi bencana India telah mengerahkan pasukan penyelamatnya ke beberapa daerah di selatan dan Tengah Kerala.

Ketua Menteri Kerala, Datuk Pinarayi Vijayan meminta agar orang ramai bersedia untuk berpindah ke kem bantuan, kawasan tinggi mahupun lokasi yang lebih selamat jika diminta oleh pegawai kerajaan.

Kira-kira 5,000 penduduk telah dipindahkan ke kem bantuan.

Sumber: Sinar Online

Aireena Marizan