Siakap Keli
Gambar: The Sun

Bulan Madu Bertukar Tragedi, Pengantin Perempuan Cedera Parah Bom Zaman Perang Dunia Meletup

Sudah menjadi kebiasaan para pengantin baru pada umumnya pergi berbulan madu selepas bergelar suami isteri.

Namun momen indah bagi pasangan Norbert Varga dan Lidiia Makarchuk ini bertukar tragedi apabila sebuah bom lama dari Perang Dunia Pertama didapati meletup dilokasi bulan madu mereka.

Memetik laporan The Sun, pasangan tersebut ketika itu sedang berkhemah di Gunung Carpathian, berdekatan Hungary bersama keluarga dan rakan terdekat sekaligus berbulan madu di sana.

Tragedi tersebut bukan sahaja mengakibatkan kecederaan parah pada mata kiri dan wajah Lidiia, malah turut memakan korban nyawa iaitu adik lelakinya, Myroslav setelah dua jam bertarung nyawa di tempat kejadian.

“Awalnya saya rasa seperti muka saya dibaling dengan batu, lebih-lebih lagi di kawasan hidung.

“Kemudian telinga saya berdesing, namun lepas itu saya dah tak dengar apa-apa.

“Saya pusing dengan keadaan menekup wajah saya dengan tangan dan mula berdoa untuk diri sendiri.

“Seketika baru saya sedar bukan sahaja saya, semua yang ada di situ sedang mengerang kesakitan,” kata Lidiia, memetik laporan The Sun.

Bercakap mengenai kematian adik lelakinya, ujar Liidia dia boleh mendengar sang adik tercungap-cungap namun ketika itu dia sendiri sedang terlantar kesakitan. Liidia juga mengaku berasa kesal atas kematian adiknya kerana tidak sempat mengucapkan ‘selamat tinggal’.

Menurut The Sun, Liidia dan beberapa orang lagi yang cedera parah akibat insiden tersebut tiba di hospital tujuh jam setelah letupan berlaku, selepas 90 minit menunggu bantuan tiba.

Bom tersebut diduga berasal dari peperangan Russia menentang Austria-Hungary pada tahun 1916, tepatnya semasa Perang Dunia Pertama. Bom lama itu kembali ‘hidup’, dipercayai kerana dipicu oleh unggun api di tapak perkhemahan tersebut.

Sumber: The Sun

Eyla Azri