Siakap Keli
Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Sebahagian Kawasan Port Dickson Alami Gangguan Bekalan Air Susulan Hujan Lebat

SEREMBAN, 20 Okt (Bernama) — Sebahagian kawasan di Port Dickson pada masa ini mengalami gangguan bekalan air berikutan penurunan pengeluaran bekalan air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Linggi disebabkan hujan lebat petang tadi.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains), Norzita Ismail dalam kenyataan malam ini memaklumkan keadaan itu juga telah mengakibatkan kenaikan paras air sungai serta kualiti air mentah menurun.

“Sains memohon maaf atas kesulitan ini dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut  di laman sesawang www.sainswater.com atau hubungi 1800886982,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata seramai sembilan mangsa membabitkan sebuah keluarga di Kampung Tanjung, Nilai dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mohd Said, selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat yang berlaku petang tadi.

“PPS itu mula dibuka pada 7.30 malam tadi namun ada keluarga yang berpindah ke kediaman saudara-mara jadi jumlah yang menetap di PPS setakat ini hanya melibatkan sembilan mangsa sahaja setakat 10.30 malam ini,” katanya.

Katanya, di Kampung Pedas, Rembau pula seramai lima mangsa daripada tiga keluarga terdiri empat wanita dan seorang lelaki dipindahkan ke kediaman keluarga mereka yang terdekat.

“Kesemua mereka dikeluarkan dari rumah masing-masing kira-kira 7 malam tadi,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'