Siakap Keli

MyFundAction Tubuh “Masjid Negara” Di Syria Bernilai RM400,000

A’ZAZ, 22 OKTOBER – Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction), sebuah pertubuhan NGO anak  muda dengan kerjasama Malaysia for Syria dan Bonyan Organization berjaya menubuhkan sebuah  masjid di Syria yang mempunyai ciri kubah seperti kubah Masjid Negara. 

Masjid As-Sabeel III yang mempunyai rekaan bumbung 8 bucu itu diinspirasikan dari bumbung konkrit Masjid Negara, Malaysia yang berbentuk bintang 16 bucu dan kelihatan seperti sekaki payung yang  kembang. 

Selain terdapat pengaruh masjid di Malaysia, Masjid As-Sabeel ketiga juga direka dengan elemen  perhiasan masjid dari Turki dan Syria sendiri. 

Masjid yang bernilai RM400,000 atau SYP46,398,800 itu terletak di tengah-tengah bandar A’zaz dan  menjadi antara masjid terbesar di situ.

Rajah 1 Masjid As-Sabeel di Syria

Rajah 2 Masjid Negara di Malaysia

Rajah 3 Masjid As-Sabeel ketika majlis perasmian

Rajah 4 Siti Aisyah Syahid, Ketua Pegawai Operasi MyFundAction

Rumah ibadat 2 tingkat yang mampu menampung seramai 500 orang jemaah itu akan digunakan  sebagai pusat ibadat dan pembelajaran Quran dan tahfiz penduduk setempat.

Menurut Siti Aisyah Syahid, Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, “masjid ini bukan sekadar menjadi  sebuah bangunan dan kemegahan, bahkan kami letakkan harapan agar masjid ini menjadi aspirasi  bagi anak-anak Syria bangkit mengejar ilmu dan ketamadunan yang sememangnya hak mereka.” 

Biar mereka tahu, satu dunia memberi doa dan semangat untuk mereka membela tanah air mereka  sendiri,” tambah beliau.

Rajah 5 Dewan solat utama Masjid As-Sabeel

Rajah 6 Ruang solat di bahagian atas

Rajah 7 Ruang solat utama menghadap belakang

Rajah 8 Perasmian ‘potong reben’ oleh Abdurrahman Shahin (dua dari kanan)

Selain dewan solat utama, tempat mengambil wuduk dan mimbar turut disediakan selain institut  agama yang dibina berhadapan dengan masjid berkenaan.

Majlis perasmian masjid berkenaan telah disempurnakan oleh Mufti Kilis, Abdurrahman Shahin yang  turut dihadiri oleh CEO Bonyan, Basel Kharrat dan Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Suruhanjaya Bebas  Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). 

Masjid As-Sabeel yang pertama telah dibina di Al-Bab, Syria manakala yang kedua di Arsal, Lubnan.

 

Siti Fatimah