Siakap Keli
Gambar: Nana Ratnawati Palaha

(Video) Sama-sama Atas Pelamin, Isteri Teman Suami Kahwin Lain & Siap Tolong Pakaikan Madu Gelang Emas

Satu video akad nikah di Kabupaten Takalar, Sulawesi Selatan, Indonesia telah meraih perhatian daripada warganet.

Seperti yang semua ketahui, video akad nikah bukanlah suatu perkara yang ganjil. Namun apa yang membuatkan video ini meraih perhatian adalah, akad nikah itu dikatakan dilakukan oleh seorang suami yang hendak berkahwin satu lagi, ditemani oleh isterinya sendiri.

Video yang berdurasi kira-kira 5 minit di muat naik oleh seorang pengguna Facebook bernama Nana Ratnawati Palaha itu memperlihatkan seorang isteri dengan bersahaja mendampingi suaminya sendiri untuk proses akad nikah bersama dengan wanita lain.

“Tular isteri hantarkan suami akad nikah atau poligami di Galeson Selatan, Takalar, Indonesia. Masya Allah,” tulis kapsyen video tersebut.

Dalam video berkenaan, Nana selaku perakam detik bahagia ituterlihat begitu kagum kepada isteri pertama pengantin lelaki tersebut yang bernama Jiji.

“Masyaallah, kuatnya akak, Masyaallah , ya Allah,” kata Nana sambil merakam video berkenaan.

“Teman suami. Hantarkan suami akad nikah, ya Allah,” ujarnya lagi.

Dalam video itu juga terlihat seorang kanak-kanak lelaki duduk berhampiran dengan pengantin. Kanak-kanak itu difahamkan adalah anak daripada pengantin lelaki dan Jiji.

“Masyaallah ditemani bersama anaknya yang bongsu,” katanya.

Jiji dapat dilihat duduk begitu dekat dengan isteri kedua suaminya itu.  Dia juga dilihat beberapa kali memeluk madunya itu sebelum mengeluarkan sebuah gelang emas dari dalam begnya dan memakaikannya pada isteri baru suaminya itu.

Mereka bertiga juga turut tidak ketinggalan mengambil gambar bersama. “Alhamdulillah, luar biasa, Allahuakbar,” kata Jiji ketika Nana memintanya untuk memberikan ucapan di atas pernikahan itu.

Pun begitu, portal suarasumsel.id menyatakan bahawa sehingga berita ini ditulis, belum ada keterangan lagi yang dapat dirungkai dari pihak yang terbabit mahu pun ahli keluarga mereka.

Walau apa pun, diharapkan semoga perkahwinan mereka berkekalan.

 

 

Sumber: suarasumsel.id

Aqmal Ezany

I write what is right