Menerusi perkongsian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang merujuk kepada kenyataan interim mengenai dos penggalak Covid-19 yang dikongsikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kini terdapat tiga jenis dos yang kebanyakannya diketahui umum iaitu dos primer, dos tambahan dan dos pengalak. Ketiga-tiga dos ini mempunyai definisi yang berlainan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman Facebook ada berkongsikan definisi bagi tiga jenis dos yang dikenali sebagai dos primer, dos tambahan dan dos penggalak. Merujuk kepada ‘Interim Statement On Booster Doses for COVID-19 Vaccination’, KKM menjelaskan beberapa perbezaan di antara ketiga-tiga dos ini.
Dos Primer atau bahasa Inggeris adalah Primary series merupakan jumlah dos lengkap yang seharusnya diterima bagi individu yang layak. Dos Primer ini dapat memberikan rangsangan imun yang optima terhadap tubuh badan. Contoh paling mudah untuk dos primer ini adalah vaksin Comirnaty atau dikenali sebagai Pfizer, CoronaVac atau dikenali Sinovac, dan juga AstraZeneca.
Ketiga-tiga dos ini memerlukan suntikan dos pertama dan dos kedua. Hal ini berbeza dengan dos primer bagi Convidecia (CanSino) dan Janssen kerana kedua-dua dos ini hanya memerlukan satu suntikan dos sahaja.
Seterusnya definisi dos tambahan. Dos tambahan ini merupakan dos vaksin yang diberikan selepas individu berjaya menerima vaksin dos primer. Dos tambahan ini bertujuan untuk memberikan rangsangan imun yang optima kepada tubuh badan.
Dos Penggalak pula merupakan dos yang diberikan individu yang sudah menerima vaksin dos primer sebagai rangsangan imun yang optima tetapi tahap imuniti mereka menurun selepas 6 bulan menerima dos primer lengkap.
Sumber: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA