Siakap Keli
Gambar: Awani

“Pesakit COVID-19 Yang Enggan Divaksinasi Perlu Tanggung Kos Perubatan Sendiri” – MoH Singapura

SINGAPURA: Pesakit COVID-19 yang enggan divaksinasi atas pilihan sendiri perlu menanggung kos perubatan sendiri apabila dimasukkan ke hospital atau mendapatkan rawatan yang disediakan bermula 8 Disember nanti, lapor Awani.

Pengumuman itu dibuat oleh Kementerian Kesihatan (MoH) negara itu pada Isnin selepas majoriti dari golongan tersebut memerlukan rawatan intensif yang juga memberi tekanan besar kepada sistem penjagaan kesihatan setelah lonjakan luar biasa kes jangkitan beberapa minggu lalu di negara itu.

“Peraturan baharu itu akan berkuat kuasa terhadap pesakit COVID-19 yang layak mendapat vaksinasi, tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian”, ujar kementerian itu.

Bagi individu yang belum menerima dos lengkap, segala kos perubatan masih akan ditanggung oleh pemerintah sehingga 31 Disember depan.

Selain itu, golongan yang akan ditanggung oleh pemerintah itu juga adalah rakyat tempatan, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang sudah menerima dos lengkap serta tidak melakukan perjalanan ke luar negara bermula 1 Januari 2022.

“Pendekatan khas ini akan terus dilakukan sehingga situasi COVID-19 menjadi stabil”, katanya sambil menambah individu tidak boleh mendapatkan vaksin kerana masalah tertentu termasuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun akan diberikan bantuan yang sama.

Sementara itu, Singapura membuka sempadan kepada pengembara dari Asia Tenggara termasuk Indonesia, Thailand dan juga Filipina bermula Khamis ini. Bagi pengembara yang ingin memasuki sempadan itu, mereka perlu menunjukkan keputusan negatif ujian pantas antigen (ART) dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.

Pemerintah negara itu turut mengumumkan 23 negara yang sebelum ini tersenarai sebagai negara berisiko tinggi termasuk Laos dan India juga akan diberikan kelonggaran sama. Walau bagaimanapun, pengembara dari negara berkenaan perlu menjalani notis duduk di rumah (SHN) selama 10 hari dan boleh memilih menjalani tempoh kuarantin tersebut sama ada di kediaman mahupun hotel.

Singapura juga turut menambah tiga lagi negara di bawah skim Laluan Perjalanan bagi orang yang divaksin (VTL), iaitu Malaysia, Sweden dan Finland sekali gus menambah kuota harian kepada 6,000 daripada 4,000 pengembara bermula 29 November nanti.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF), Gan Kim Yong memaklumkan individu yang sudah menerima dos lengkap dan merupakan isi rumah yang sama dibenarkan dine in dalam kumpulan yang terdiri daripada lima orang bermula Rabu.

Selain pelonggaran sekatan tersebut, perhimpunan sosial turut dihadkan kepada dua individu sehari. Manakala jumlah pengunjung di kediaman masih kekal dua orang sehari.  Menurut Kim Yong lagi, pihak berkuasa akan melaksanakan siri pelonggaran lain di bawah program perintis bagi golongan yang sudah menerima dos lengkap untuk melakukan aktiviti seperti bersukan dan acara sosial lain bersama-sama langkah pengurusan yang selamat.

“Lebih banyak kegiatan di sekolah termasuk sesi pembelajaran secara bersemuka akan disambung semula”, kata Menteri Perdagangan dan Industri itu.

Sumber: Awani

Aireena Marizan