Siakap Keli
Gambar: CineMaterial & @themateenhansel

“Masa 17 Tahun Terus Masuk Hollywood,” Maya Karin ‘Bocor Rahsia’ Pernah Jadi Pelakon Filem ‘Box Office’ Hollywood

Nama Maya Karin sudah tak asing lagi dalam industri hiburan Malaysia. Siapa je tak kenal pelakon wanita berdarah kacukan yang pernah menjadi fenomena melalui lakonannya dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam ni.

Tapi kalau korang nak tahu, sebelum menempa nama dalam dunia perfileman tanah air, Maya Karin pun pernah jadi pelakon extra tau. Bukan extra biasa-biasa, kemunculan pertama Maya Karin sebagai pelakon adalah dalam filem box office Hollywood berjudul ‘Entrapment‘.

Entrapment merupakan filem bergenre aksi kriminal yang dibintangi pelakon dan penerbit Sean Connery serta nama besar Hollywood, Catherine Zeta-Jones. Filem ini diterbitkan oleh 20th Century Fox pada tahun 1999.

Menjawab persoalan warga net yang terperasan sosok Maya Karin dalam filem tersebut, pelakon itu melalui sebuah ciapan di laman Twitter miliknya berkata, ketika itu beliau masih berusia 17 tahun dan Entrapment adalah filem pertamanya walaupun sebagai pelakon extra.

Movie pertama saya masa umur 17 tahun terus masuk Hollywood, extra je.

“500 bucks (USD) kerja satu malam, untuk seorang yang berumur 17 tahun, itu kechingg!” tulis Maya Karin.

Filem Hollywood tersebut sempat merakamkan babak di beberapa lokasi sekitar bandaraya Melaka dan Kuala Lumpur termasuk Menara Berkembar Petronas dan Stesen LRT Bukit Jalil (Stesen Pudu).

Sumber: Twitter Maya Karin, iMDB

Eyla Azri