Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pereka Fesyen Ikonik Hollywood, Bob Mackie Meninggal Dunia Pada Usia 87 Tahun

Bob Mackie meninggal dunia
Kredit: AFP

Pereka fesyen Amerika Syarikat, Bob Mackie, yang terkenal dengan rekaan glamor Hollywood dan pernah menghasilkan pakaian untuk Cher, Tina Turner, Sabrina Carpenter serta ramai selebriti lain, meninggal dunia pada Isnin pada usia 87 tahun.

Berita kematian itu dikongsikan menerusi akaun Instagram miliknya.

Bob Mackie meninggal dunia

“Dengan berat hati, kami berkongsi berita bahawa Encik Bob Mackie telah meninggal dunia hari ini,” menurut kenyataan itu.

“Genius dan rekaan luar biasanya akan terus hidup selamanya, membawa keindahan ke dunia ini,” menurut kenyataan berkenaan.

Dikenali dengan kepakarannya menggunakan labuci dan elemen berkilauan, rekaan Mackie menjadi pilihan industri hiburan Hollywood selama beberapa dekad, daripada produksi “The Carol Burnett Show” hinggalah kebangkitan semula populariti koleksi arkibnya dalam kalangan generasi muda, termasuk selebriti seperti Zendaya dan Miley Cyrus.

Rekaan ikonik untuk Cher

Sepanjang kerjaya Cher, Mackie menghasilkan pelbagai pakaian berani untuk penyanyi itu, termasuk bagi persembahan pentas, acara anugerah dan video muzik.

Rekaannya sering menyerlahkan susuk tubuh Cher dengan hiasan glamor yang sinonim dengan penampilan penari pertunjukan Las Vegas.

Mackie turut menerima Anugerah Tony bagi kategori reka bentuk kostum terbaik menerusi muzikal “The Cher Show”.

Dalam hantaran di X pada Isnin, Cher yang terkenal menerusi lagu “If I Could Turn Back Time” memberi penghormatan kepada pereka berkenaan.

“My dear Bob has gone up to heaven. Knowing him, he's bringing sequins, beads and his sketch pad. Good nite sweet Prince,” tulisnya.

Bermula dalam dunia kostum Hollywood

Mackie dilahirkan di Monterey Park, California, pada 1939 dan memulakan kerjayanya dengan bekerja untuk pereka kostum Hollywood, Jean Louis.

Ketika itu, beliau bertanggungjawab menghasilkan lakaran bagi gaun yang dipakai Marilyn Monroe ketika membuat persembahan “Happy Birthday” untuk Presiden John F. Kennedy.

Sepanjang kerjayanya, Mackie turut mereka pakaian untuk barisan selebriti terkenal termasuk Diana Ross, Madonna dan Bette Midler.

Walaupun rekaan Mackie tidak mendapat penerimaan meluas daripada dunia fesyen kelas atasan, beliau tidak pernah menyesal memilih gaya glamor sebagai identitinya.

The New York Times melaporkan Mackie pernah berdepan kesukaran untuk mendapatkan pengiktirafan daripada dunia fesyen berprofil tinggi.

“Maybe what I do wasn't for everybody, but that's fine. I could only ever be true to myself,” katanya kepada akhbar itu pada tahun lalu.

Mackie meninggalkan legasi besar dalam dunia fesyen dan hiburan menerusi rekaan yang sarat dengan labuci, kilauan dan unsur dramatik, sekali gus menjadikannya antara pereka kostum paling dikenali dalam sejarah Hollywood.

Intipati
  • Bob Mackie meninggal dunia pada Isnin, menurut kenyataan dikongsi menerusi akaun Instagram miliknya.
  • Beliau terkenal dengan rekaan glamor Hollywood untuk Cher, Tina Turner dan ramai selebriti lain.
  • Mackie pernah menerima Anugerah Tony bagi reka bentuk kostum terbaik menerusi The Cher Show.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan