Siakap Keli
Gambar Via Sani Express

Tular Isu Tak Berhenti Solat Subuh, Sani Express Mohon Maaf & Pemandu Dikenakan Tindakan

Tular isu pemandu bas yang didakwa tidak berhenti untuk solat subuh baru-baru ini, Sani Express telah mengeluarkan permohonan maaf dan memaklumkan bahawa tindakan lanjut telah diambil terhadap pemandu tersebut.

Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook rasmi, Sani Express mengatakan bahawa pemandu tersebut tidak lagi diberi tugas sebagai pemandu bas buat masa ini dan siasatan dalaman syarikat juga akan diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, tindakan disiplin, amaran, kaunseling, latihan semula atau tindakan lanjut adalah prosedur syarikat yang akan dilakukan kelak terhadap pemandu tersebut.

“Pihak syarikat memandang serius berkenaan insiden tersebut dan berasa kesal terhadap apa yang berlaku.

“Berhenti rehat dan solat adalah prosedur wajib bagi semua pemandu Sani Express semasa dalam perjalanan, solat 5 waktu adalah perkara wajib yang harus dilaksanakan kita sebagai umat Islam.

“Kami ingin memohon maaf di atas insiden yang berlaku dan berjanji dan berusaha agar perkara tersebut tidak berulang lagi,” kata syarikat itu.

Sumber: Sani Express, Sinar Harian

Sofea

There's always another side to every story