Siakap Keli
Gambar Via Persatuan Kartografi Melaka

“Bandar Ini Sangat Besar, Ada 25 Ribu Rumah”, Digelar Semenanjung Emas, Catatan Peta Berusia 505 Tahun Dedah Kemegahan Kota Melaka

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Seperti yang diketahui, Melaka pernah menjadi satu empayar yang sangat terkenal di dunia dan mempunyai keunikan sejarah yang kekal diingati sehingga kini.

Ia dikenali sebagai pusat perdagangan yang maju sehingga menarik perhatian pedagang dari seluruh dunia termasuk Arab, Parsi dan China. Pelbagai barangan dan rempah ratus yang diperdagangkan di pelabuhan negeri itu termasuk emas, sutera dan batu permata.

Bercakap mengenainya, baru-baru ini Persatuan Kartografi Melaka ada berkongsikan sebuah peta lama yang memaparkan perincian mengenai Semenanjung Melaka yang diberi nama Martin Waldseemuller’s 1516 Carta Marina.

Untuk mengetahui lebih lanjut, ikuti perkongsian di bawah ini.

Sebuah peta lama yang diterbitkan pada tahun 1516 dan diberi nama sebagai Martin Waldseemuller’s 1516 Carta Marina ada memaparkan kawasan di sekitar Asia Tenggara iaitu Semenanjung Melaka (Kini Semenanjung Malaysia). Peta Carta Marina 1516 Martin Waldseemüller adalah sebuah peta yang berupaya dalam membentangkan konsep dunia yang paling terkini pada masa tersebut dan menggabungkan maklumat geografi yang diperluas dan diperbetulkan.

Di dalam peta tersebut, terserlah sebuah tanah besar benua Asia yang menganjur ke selatan hemisfera iaitu Semenanjung Melaka (Semenanjung Malaysia) dan memperincikan lokasi pusat atau ibu kota Kesultanan Melayu Melaka yang dilabel sebagai MALACHA (Melaka) CIVIT ET REGNVM (The City and Kingdom / Bandaraya dan Kerajaan).

Gambar Via Persatuan Kartografi Melaka

Terdapat sebuah catatan yang tertera di sebelah kiri lokasi Malacha (Melaka) di dalam peta tersebut. Catatan tersebut adalah:

Auream Chersonesum Malacham acole nunc appellant urbs mire magnitudinis utque. xxv. milia larium acque tocius Indie aut potius mundi maximum et celebratissimum est emporium ubi non modo varia aromata sed auri argentique margaritarum ac pretiosorum lapidum sericique copia affluit. Rex tributarius est regi de Cini, nunc subactus dictioni portugallensium, Anno domini .1512. Gentes sunt Macometani, habentque mineralia stagni

Terjemahan dalam Bahasa Inggeris:
The Golden Chersonese, which the inhabitants now call Malacca. The city is very large, with 25,000 houses, and it is the largest and most famous emporium in Indie* or indeed the world, where not only various spices but also gold, silver, pearls, precious stones, and silk flow in abundance. The king pays tribute to the king of China, but now, in the year 1512, has been brought under the dominion of the Portuguese. The people are followers of Mohammed, and they mine tin.

Gambar Via Persatuan Kartografi Melaka

Terjemahan dalam Bahasa Melayu:

Semenanjung Emas, yang kini penduduknya memanggil sebagai Melaka. Bandar ini sangat besar, dengan 25,000 rumah, dan ia adalah emporium terbesar dan paling terkenal di Indie* atau sememangnya dunia, di mana bukan sahaja pelbagai rempah ratus tetapi juga emas, perak, mutiara, batu permata, dan sutera mengalir dengan banyaknya. Raja memberi penghormatan kepada raja China, tetapi kini, pada tahun 1512*, telah dibawa ke bawah kekuasaan Portugis. Orang ramai adalah pengikut Muhammad (Nabi Muhammad S.A.W), dan mereka melombong bijih timah.

Berdasarkan catatan di dalam peta yang berusia 505 tahun ini, ia dapat menggambarkan bahawa Kesultanan Melayu Melaka merupakan sebuah Kesultanan yang hebat dan Melaka merupakan sebuah wilayah yang gemilang dan terbilang daripada aspek ekonomi, pentadbiran dan pemerintahan bukan sahaja di Asia Tenggara malah di dunia. Dengan wujudnya lebih 25,000 buah rumah di kota ini, menyaksikan bahawa Melaka merupakan sebuah kawasan perbandaran atau metropolis yang mempunyai penduduk yang sangat ramai pada zaman tersebut.

Informasi tambahan:

*Indie atau Hindia ialah gelaran yang merujuk kepada pelbagai tanah di Timur atau hemisfera Timur, terutamanya pulau-pulau dan pantai yang ditemui di dalam dan sekitar Lautan Hindi oleh penjelajah Portugis selepas laluan Cape ditemui.

*Di dalam peta tersebut, tertulis Melaka telah dijajah oleh Portugis pada tahun 1512 tetapi berdasarkan sejarah, Melaka telah dijajah bermula pada 15 Ogos 1511. Ataupun maksud penulis di dalam peta tersebut adalah untuk mengatakan bahawa pada tahun 1512, melaka telah berada di bawah penjajahan dan pemerintahan Portugis.

Sumber: Persatuan Kartografi Melaka

" "