Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 18 hingga 24 Jun 2026 diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM4.37 seliter selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
Kementerian Kewangan Malaysia dalam satu kenyataan semalam memaklumkan penurunan itu dibuat susulan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu terdahulu.
Bagaimanapun, harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi kekal masing-masing pada kadar RM4.35 dan RM3.72 seliter.
Menurut kementerian itu, harga bagi semua bahan api bersubsidi juga kekal tanpa sebarang perubahan.
Kementerian Kewangan berkata kerajaan memandang positif perkembangan terkini konflik di Asia Barat, khususnya tanda-tanda ke arah penyelesaian yang lebih berkekalan.
Menurutnya, perkembangan tersebut telah menyumbang kepada penyederhanaan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.
Namun begitu, tanggungan subsidi kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi, iaitu sekitar RM3.5 bilion.
Daripada jumlah itu, subsidi RON95 dianggarkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula kira-kira RM1.5 bilion sebulan.
“Masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh mengekang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras prakonflik.
“Ini termasuk ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya, serta risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad,” menurut kenyataan itu.
Tambah kementerian itu, kerajaan akan terus memastikan kebajikan rakyat dan kelangsungan operasi sektor tertentu terus terpelihara melalui bantuan serta subsidi bersasar.
Pada masa sama, kerajaan akan mengurus perbelanjaan fiskal secara berhemat dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.
Walaupun bekalan bahan api negara ketika ini dilaporkan masih mencukupi, Kerajaan MADANI menyeru rakyat supaya terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah.
Menurut kementerian itu, perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu mampu membantu memanjangkan bekalan negara selain mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.