Siakap Keli
Gambar : Detik News

Dah Jual Perabot, Lelaki Nak Jual Bumbung Rumah Keluarganya Pula Supaya Dapat Duit Untuk Keluar Bersama Teman Wanita

Seorang lelaki sanggup menjual kelengkapan rumah ibunya demi mendapatkan wang kerana ingin menghabiskan masa dengan teman wanitanya, lapor Detik News.

Tindakan tersebut dipercayai telah dilakukan ketika rumah itu sudah lengang kerana ketiadaan ibunya.

Ketua Unit Siasatan Jenayah polis Pundong berkata, ayah petuduh sudah meninggal dunia dan ibunya masih perlu melangsaikan pinjaman bank ayahnya.

Menurut wartawan ketika dihubungi, ibunya bekerja sebagai pembantu rumah kerana berniat untuk membayar balik pinjaman dan meninggalkannya sendirian di rumah.

Oleh sebab itu, ibunya jarang pulang ke rumah dan lelaki tersebut dikatakan sempat menjadi pemandu teksi motosikal dalam talian (ojek) .

“Hampir dua bulan ibunya pergi bekerja di Kapanewon Kasihan (Bantul) dan tidak pulang ke rumah,” kata wartawan itu.

“Anakya pernah bekerja sebagai pemandu teksi motosikal dalam talian dan sering melepak di Terminal Ginawangan. Ada satu ketika rakannya meminjam dan menggadai motosikal miliknya. Disebabkan itu dia kehilangan kerja dan mula berkenalan dengan seorang wanita,” sambungnya.

Disebabkan baru berkenalan dan memerlukan wang untuk menampung keperluan seharian, dia nekad untuk menjual perabot rumahnya pada Oktober lalu.

Pada mulanya, lelaki tersebut hanya menjual kabinet, meja, kerusi, daun pintu dan pintu rumah ibunya.

Namun, pada 8 November lalu, ibunya dimaklumkan oleh penduduk bahawa genting rumahnya sudah diturunkan dan telah dinaikkan ke atas lori dan diminta untuk pulang ke rumahnya.

Mengetahui perabot dan bumbung rumahnya sudah habis dijual, ibunya berasa berang dan terus melaporkan tindakan anaknya ke pihak polis.

“Ibunya berkata dia sudah tidak tahan dengan anaknya dan meminta proses perundangan diteruskan. Kami telah memberi peluang untuk fikir semula tetapi ibunya masih berkeras dan ingin anaknya dihukum,” jelas polis.

Pihak polis kemudian telah menahan lelaki tersebut. Daripada pengakuan yang diberikan, anaknya telah menjual segala kelengkapan rumahnya. Anggaran harga jualan yang dilakukan hampir mencecah puluhan juta rupiah.

“Kabinet dan kerusi dikatakan hanya dijual dengan harga Rp. 500 ribu ( RM 147.64), manakala perabot yang lain dijual asal laku sahaja. Keseluruhan harga jualan yang anaknya dapat mencecah Rp. 24 juta (RM 7086.80),” menurut pihak polis.

Tambah pihak polis, lelaki tersebut mengaku telah menggunakan wang hasil jualan untuk berfoya-foya bersama-sama teman wanitanya.

Disebabkan tindakannya itu, lelaki itu telah didakwa mengikut Perkara 367 Kanun Jenayah berhubung dengan kes kecurian dalam keluarga dan akan dipenjarakan lebih daripada 5 tahun.

Sumber : Detik News

Fathin Nadzira