Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menekankan kepentingan memelihara kedaulatan negara dalam mengurus isu-isu semasa, termasuk dalam soal kemanusiaan dan kebajikan.
Baginda bertitah bahawa perkara itu perlu dititikberatkan agar tidak melangkaui batas undang-undang serta kepentingan negara.
Menerusi titah yang dikongsikan di Facebook Kesultanan Pahang, baginda mengambil perhatian mengenai kegusaran rakyat mengenai golongan tertentu yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan.
“Islam mengajar kita untuk berbuat ihsan terhadap mereka yang ditimpa musibah, kehilangan tanah air serta menjadi mangsa peperangan dan penindasan.
"Namun, rahmah yang dianjurkan agama tidak pernah bererti kita mengabaikan kedaulatan negara atau membiarkan belas ihsan melangkaui batas yang ditetapkan oleh undang-undang.
"Kebelakangan ini, rakyat semakin gusar apabila melihat golongan tertentu yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan, kini semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini," ujar baginda.
Menurut baginda, dalam adat melayu dan ajaran Islam, tetamu sentiasa dimuliakan.
Bagaimanapun, tetamu yang mengenal adab akan tahu menghargai budi, menghormati undang-undang dan memahami batas dirinya.

Tegas baginda lagi, rakyat negara ini telah lama menunjukkan sifat pemurah dan berperi kemanusiaan. namun kemurahan hati itu jangan sekali-kali disalah tafsir sebagai kelemahan.
“Tangan yang menghulurkan bantuan tidak seharusnya dibalas dengan suara yang semakin meninggi, apatah lagi dengan tuntutan yang semakin menjauh daripada kewajaran.
"Justeru, saya berharap pihak berkuasa akan terus bertindak dengan tegas, bijaksana dan berhemah dalam menangani isu ini menurut lunas undang-undang.
"Kedaulatan negara hendaklah dipelihara tanpa kompromi, keamanan rakyat mesti dipertahankan tanpa ragu, dan hak warganegara wajib dijunjung tanpa pengecualian.
“Sesungguhnya, belas ihsan itu lambang kemuliaan sebuah bangsa, tetapi kedaulatan negara adalah amanah yang tidak boleh digadai,” tegas baginda.
Baginda menitahkan mengenai perkara tersebut ketika Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi yang berlangsung di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan hari ini.