Siakap Keli
Kredit: Utusan Malaysia

Seorang Lelaki Maut Dicekik, Dipercayai Curi Pembesar Suara Mudah Alih

IPOH – Pergaduhan melibatkan empat orang lelaki mengenai pembesar suara mudah alih yang dicuri berakhir dengan kematian selepas seorang dari mereka maut dicekik di pasar pagi Flat Ashby Road, Sungai Senam, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang berusia 29 tahun, maut dalam pergelutan bersama suspek yang merupakan dua-beranak.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian itu berlaku kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang dipercayai mencuri pembesar suara milik salah seorang daripada mereka.

Kejadian itu berpunca daripada pertengkaran mulut dan seterusnya menyebabkan pergelutan di antara mereka.

“Suspek dikatakan menjumpai mangsa bersama-sama pembesar suara tersebut. Pertengkaran berlaku sebelum seorang daripada suspek mencekak leher mangsa dari belakang”, kata Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam satu kenyataan.

Mangsa yang dipercayai mempunyai masalah mental, meninggal dunia di lokasi kejadian. Ekoran kejadian itu, ketiga-tiga suspek yang berumur 60, 43 dan 34 tahun itu ditangkap bagi membantu siasatan.

Sementara itu, pihak polis turut merampas sebilah pisau lipat yang ditemui di lokasi kejadian.

“Permohonan reman akan dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh”, jelasnya.

 

Sumber: Utusan Malaysia

 

Aireena Marizan