Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Manipal Hospitals Klang Kini Dikenali Sebagai Pusat Perubatan Bukit Tinggi

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) — Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) menamakan semula Manipal Hospitals Klang di Selangor sebagai Pusat Perubatan Bukit Tinggi (Bukit Tinggi Medical Centre) (BTMC) susulan pengambilalihan 100 peratus hospital tersebut, awal tahun ini.

Dalam satu kenyataan RSDH berkata penjenamaan semula hospital berkapasiti 220 katil itu adalah strategi perniagaan kumpulan berkenaan untuk membezakan hospital-hospitalnya yang diperakui di peringkat antarabangsa berdasarkan lokasi.

“BTMC ialah rangkaian fasiliti kumpulan ini dan ia akan terus menetapkan penanda aras bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang komprehensif di Klang.

“Menamakan semula hospital mengikut kawasan kejiranan, bukan hanya mencipta identiti tersendiri, tetapi juga membantu fasiliti tersebut kekal menjalin hubungan dengan komuniti ia memberikan khidmat.

“Menerusi langkah penjenamaan semula ini, kami berhasrat untuk menerapkan budaya dan falsafah RSDH iaitu ‘People Caring for People’ kepada sebuah hospital yang bertaraf tinggi, bagi menambah baik pengalaman pesakit,” menurut pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RSDH Peter Hong dalam kenyataan tersebut.

Perkembangan terbaharu ini, sekali gus menjadikan BTMC sebagai fasiliti penjagaan kesihatan RSDH yang keempat di negara ini, iaitu tambahan kepada Pusat Perubatan Subang Jaya, Pusat Perubatan Ara Damansara dan Pusat Perubatan ParkCity.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story