Kerajaan Australia bersedia memperkenalkan beberapa undang-undang ‘anti-troll’ untuk membolehkan orang ramai menyaman pembuli siber, lapor The Guardian.
Perundangan tersebut akan memerlukan syarikat media sosial yang terlibat mendedahkan identiti pembuli yang berkelakuan sedemikian.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison mengumumkan cadangan itu kepada pihak parlimen pada Ahad lalu, 28 November 2021.
Kata beliau, undang-undang tersebut akan mendedahkan identiti pembuli melalui akaun trolling tanpa nama. Pihak kerajaan juga akan menawarkan laluan untuk orang ramai menyaman pembuli tersebut atas tuduhan memfitnah.
Kata Morrison, undang-undang ini adalah untuk memastikan konsistensi antara peraturan dunia sebenar dan peraturan dalam talian.
“Peraturan yang wujud dalam dunia nyata mesti juga wujud dalam dunia digital dan dalam talian,” kata Morrison memetik dalam laporan The Guardian.
Di bawah undang-undang tersebut juga, beliau menjelaskan bahawa syarikat media sosial perlu mengumpul butiran peribadi pengguna baharu dan semasa. Selain itu, pihak mahkamah juga akan dibenarkan untuk mengakses sendiri identiti pengguna yang terlibat bagi melancarkan perbicaraan kes.
Walaupun tidak dijelaskan data-data peribadi yang dikumpul, adalah dipercayai bahawa butiran yang didedahkan termasuk nombor telefon, alamat e-mel dan nama pengguna.
Laporan juga mengatakan bahawa syarikat media sosial perlu menyediakan proses aduan, di mana orang ramai boleh meminta kandungan itu dikeluarkan jika merasakan ia memfitnah mereka.
Jika ‘posting‘ itu dipadam, pengguna boleh meminta butiran peribadi orang yang menyiarkan kandungan tersebut.
Menurut laporan The Guardian, jika pembuli siber tidak bersetuju,, perintah mahkamah boleh dikenakan dengan memaksa syarikat itu untuk mendedahkan identiti mereka dan berkemungkinan boleh disaman.
Kata Morrison lagi, kerajaan akan menyokong bagi membantu menetapkan kes awal.
“Kami akan mencari kes ujian yang boleh mengukuhkan undang-undang ini,” tambah beliau.
Sumber : The Guardian