IPOH, 1 Dis (Bernama) — Sebanyak 1,604 barang kes termasuk perjudian bernilai keseluruhan RM1.5 juta membabitkan 414 kertas siasatan yang telah diselesaikan dilupuskan di lapang sasar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah hari ini.
Pelupusan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah itu melibatkan 944 kotak rokok pelbagai jenama, 185 mesin bitcoin, 125 barang kes perjudian dan 350 barang kes am.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kesemua barang kes berkenaan terdiri daripada empat kes kontraband, lima kes bitcoin, 90 kes perjudian dan 315 barang kes am.
“Kesemua barang kes terlibat telah mendapat arahan pelupusan daripada Timbalan Pendakwa Raya, dengan kertas siasatan itu sudah dituduh dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dari 2016 hingga tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua barang kes dilupuskan dengan cara pembakaran sebelum ditanam menggunakan jentera.
Wan Azharuddin sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang dan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan jenayah.
Sumber: BERNAMA