Polis telah menahan seorang guru yang dikatakan telah memperkosa seorang remaja di daerah Waesama, Buru Selatan, Maluku.
Tertuduh ditahan kerana disyaki telah memperkosa gadis remaja berusia 18 tahun pada Jumaat lalu, lapor Tribun News.
Menurut laporan, tertuduh merupakan seorang guru bagi mata pelajaran agama. Pada awalnya, guru itu telah menangkap mangsa dan juga kekasihnya yang sedang melakukan hubungan intim di pantai talud belakang rumah guru tersebut.
Gara-gara panik kerana kantoi dengan guru mereka, teman lelaki gadis tersebut telah bertindak melarikan diri dan meninggalkan gadis remaja itu sendirian.
“Semasa kekasih mangsa lari meninggalkan mangsa, gadis tersebut sendirian tidak memakai seluar,” kata Aipda MYS Djamaludin, pegawai polis, lapor Kompas.com melalui Tribun News.
Mangsa dikatakan tidak boleh pergi ke mana-mana setelah ditinggalkan oleh kekasihnya itu. Melihat kepada situasi mangsa ditinggalkan kekasihnya, guru itu malah memanfaatkan situasi tersebut.
Menurut artikel, guru itu dikatakan cuba untuk memaksa mangsa untuk melakukan hubungan intim bersamanya.
Mangsa cuba menolak dan melawan tetapi guru tersebut bertindak mengugut mangsa untuk melaporkan perbuatan mangsa itu dengan kekasihnya kepada ibu bapa mereka.
Malah, guru itu turut mengugut untuk melaporkan kejadian mangsa bersama teman lelakinya tadi kepada ketua kampung.
Disebabkan itu, mangsa dikatakan tidak berdaya untuk melawan. Setelah melakukan perbuatan tersebut, guru berkenaan mengarahkan gadis itu untuk pulang ke rumah.
Dua hari kemudian mangsa dikatakan telah memberitahu keluarganya apa yang sudah berlaku kepadanya.
Kemudiannya, mangsa dan abangnya telah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis daerah Waesama pada Isnin lalu 29 November 2021.
“Penjenayah itu ditahan di Balai Polis Waisama bagi mengelak amarah keluarga mangsa.” kata polis itu.
“Dia belum dikatakan sebagai suspek, namun akan disiasat kemudian dan setelah itu baru dikatakan sebagai suspek.” katanya lagi.
Sumber: Tribun News