Setelah lima tahun pengeluaran dihentikan, model iPhone 6 Plus keluaran syarikat teknologi gergasi Apple Inc bakal masuk dalam senarai produk vintage syarikat tersebut akhir tahun ini.
Memetik laporan MacRumors, iPhone 6 Plus bakal termasuk dalam senarai berkenaan bermula 31 Disember 2021. Pun begitu, pihak Apple masih menyediakan perkhidmatan untuk pemilik iPhone 6 Plus untuk membaiki model ini di Apple Store dan pusat-pusat servis Apple berdaftar, bergantung kepada ketersediaan alat ganti.
Rangkaian iPhone 6 dan iPhone 6 Plus dikeluarkan pada bulan September 2014 dan merupakan dua model telefon pintar yang cukup mendapat sambutan. Model iPhone 6 Plus walaubagaimanapun dihentikan pengeluaran pada tahun 2016, sementara iPhone 6 masih dipasarkan hingga tahun 2018.
Dari segi perisian, Apple telah pun menghentikan sokongan pengemaskinian terhadap model iPhone 6 dan iPhone 6 Plus sejak perisian iOS 13 dikeluarkan beberapa tahun lalu. Menurut kemaskini di laman web rasmi Apple, sesuatu produk keluaran syarikat mereka yang dihentikan pemasaran dalam tempoh lebih dari lima tahun dan kurang dari tujuh tahun secara tak langsung dianggap sebagai produk vintage.
Sumber : MacRumors