Enam pelanggan serta belasan pekerja Ikea di Denmark terpaksa bermalam dalam gedung Ikea selepas terkandas akibat ribut salji pada Rabu.
Difahamkan bahawa, salji setebal 12 inci telah memaksa pelanggan serta kakitangan Ikea tersebut tidak dapat pulang ke rumah mereka.
Daripada cubaan meredah salji tebal itu, pelanggan serta kakitangan tersebut telah diberikan peluang seumur hidup untuk tinggal selama satu malam di bilik pameran perabot yang terdapat di gedung berkenaan.
Beberapa gambar yang berlegar memaparkan para pelanggan serta kakitangan tersebut bebas membuat pilihan untuk memilih katil serta tilam yang terdapat di bilik pameran berkenaan untuk merehatkan diri.
“Kami tidur di perabot pameran dan bilik pameran kami yang berada di tingkat satu, di mana terdapat katil, tilam dan katil sofa,” kata pengurus kedai, Peter Elmrose.
Dia menyatakan bahawa pelanggan diberikan peluang memilih katil yang mereka hendak beli dan mencubanya, dan mereka semua bermalam sambil makan dan menonton TV. Ianya berjalan dengan ‘sangat lancar’, dan pada malam itu semuanya menyeronokkan.
Agensi berita Denmark melaporkan bahawa pekerja yang bekerja di kedai permainan bersebelahan juga turut menyertai orang awam di Ikea tersebut kerana terkandas akibat cuaca buruk.
“Ianya jauh lebih baik daripada tidur di dalam kereta. Segalanya sangat bagus dan kami gembira kerana mereka membenarkan kami masuk,” kata pengurus kedai mainan tersebut, Michelle Barret.
“Kami tertawa akan situasi yang berlaku, kerana kami mungkin tidak akan mengalaminya lagi.”
Sumber: Daily Mail