Selepas terpalit dengan kontoversi hebat yang membabitkan perkahwinan keduanya bersama dengan seorang penyanyi ketuhanan pada sekitar tahun 2017 yang lalu, usahawan kosmetik sensasi, Joy Revfa akur perjalanan kisah rumah tangga tidak menyebelahi nasibnya.
Pada tahun 2017 itu, hampir setiap inci kehidupan ibu tunggal kepada Muhammad Arryan Firdaus yang berusia tujuh tahun itu sering kali diintai.

Terdahulu, pemilik empayar perniagaan MERVE Cosmetics Malaysia yang berdaftar di bawah nama MERVE Group Holdings Berhad ini pernah melangsungkan pertunangan dengan seorang jurulatih kecergasan bertubuh ‘sado’ pada sekitar Mac tahun lalu.
Namun begitu, jodohnya bersama dengan jejaka misteri itu tidak berkekalan.
“Sepatutnya kami berkahwin tahun lalu. Tapi akhirnya saya nekad membatalkan perkahwinan itu kerana rasa tidak serasi dengannya. Saya akur dengan ujian hidup ini. Kita mungkin takkan dapat apa yang diingini. Tuhan akan menguji tak pernah berhenti. Pilihan yang ada ialah untuk terus kuat.
“Sekarang saya masih single. Bercinta dengan perniagaan sayalah lebih menenangkan. Saya pun belum berniat untuk berkahwin. Saya bahagia dengan menumpukan sepenuh kudrat dan hati ini kepada syarikat dan anak.
“Jika Allah hadirkan jodoh lagi selepas ini, insya-Allah saya terbuka menerimanya. Tak ada istilah serik. Manusia dilahirkan berpasangan. Saya tak menolak fitrah itu. Kita hanya mampu merancang, selebihnya ketentuan Tuhan.
“Jujur ada berkawan dan berkenalan. Ada yang atas paksi profesional. Ada juga yang cuba menambat hati. Tapi entahlah… saya pun tak mahu larut dengan perasaan sebegitu dulu,” katanya.
Baru melancarkan koleksi gincu dipanggil BlackRevfa, Joy atau nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd Amin diaju persoalan bagaimana terus bangkit selepas berdepan dengan kemelut hubungan tak berpanjangan.
“Perceraian dengan bekas suami menerusi perkahwinan kedua sudah hampir empat tahun. Perkahwinan pertama pun bertahan dua tahun.
“Saya terus bangkit dan segera ‘move on’ demi anak tunggal. Malah perasaan itu turut didorong keinginan yang sangat kuat dan rasa bertanggungjawab nak membantu lebih ramai wanita termasuk ibu tunggal seperti saya di luar sana lebih berjaya,” katanya.
Jelas Joy yang terkenal dengan tagline ‘Cantik Bukan Lagi Fantasi’, tanggungjawab yang digalasnya kini menjadi semakin besar apabila terpaksa menjadi ibu dan ayah kepada anaknya sambil perlu menguruskan empayar perniagaan.

“Namun saya anggap ketidaksempurnaan itu lah yang akan menyempurnakan diri sendiri. Tak ketinggalan sokongan, motivasi dan kerjasama padu daripada keluarga dan pasukan di dalam syarikat berikan suntikan semangat setiap hari.
“Saya bagai beroleh kekuatan dan ingin mencabar diri menjadi yang terbaik. Menjadi ibu tunggal, ada dua perkara yang harus kita hadapi iaitu harus lawan dan kalahkan apa juga cabaran mendatang. Ia bertitik tolak kepada rasa takut dan tak mampu.
“Kita diciptakan untuk mewujudkan kemuliaan Allah SWT dan memanfaatkan kelebihan yang ada dalam diri kita. Percayalah setiap kelebihan bukan ada pada sesetengah orang tapi ada di setiap dalam diri kita. Cubalah cari, anda pasti akan jumpa,” katanya optimis.
Sementara itu, kehadiran gincu edisi terhad yang juga produk ke-30 dikeluarkannya terus membuatkannya tak menang tangan.
“Saya sifatkan ia sebagai misteri kerana menampilkan gincu yang bagai ada elemen magis. Ia berwarna hitam, namun apabila dioles atau dipakai di bibir, sekelip mata berubah menjadi merah semula jadi yang cantik dan mengghairahkan.
“Baunya juga sangat ‘lazat’ dan menyenangkan. Ia boleh bertahan selama 24 jam. Ia bukan saja boleh dioles di bibir, malah berfungsi pelbagai untuk digunakan di pipi, hidung, kelopak mata, kuku dan sebagainya. Gincu ini juga boleh merawat bibir merekah, kering, kusam, kesat dan gelap.
“Jadi jelas perubahan warna gincu yang diketengahkan ini menjadi kelainan dan obsesi terbaru produk syarikat saya. Tanda pagar #blackisred mengiringi kehadiran dan penerimaan produk itu yang mampu menzahirkan bibir sensual kemerahan, sihat, licin dan lembut,” katanya.
Selain daripada itu, Joy juga turut mengalu-alukan orang ramai yang terkesan dengan pandemik COVID-19 untuk memulakan perniagaan dan menjana pendapatan melalui produknya.

“Kami tawarkan perniagaan tanpa modal dan tidak perlu memegang stok. Semuanya akan diuruskan oleh ibu pejabat.
“Pada waktu sama turut dilancarkan #mervetiktokchallenge bermula 6 Disember ini sehingga 6 Januari tahun depan. Cabaran TikTok ini menawarkan hadiah menarik berupa sebuah telefon bimbit Iphone 13. Pemenang akan ditentukan berdasarkan jumlah tontonan, tanda suka dan perkongsian terbanyak. Peserta wajib memegang gincu ketika melakukan cabaran ini.
“Pastikan tanda pagar #MERVEtiktokchallenge, #Blackrevfa, #MERVEblackisred dan #MERVEcosmetics turut disertakan apabila memuat naik video berkenaan,” katanya.
Koleksi BlackRevfa ini boleh didapati melalui laman web rasmi di pautan http://www.mervecosmetics.com.my/
Gincu berkualiti antarabangsa ini boleh dijual dengan harga mampu dimiliki serendah RM59.90.