Pihak Bomba dan Penyelamat Cyberjaya menasihatkan orang ramai yang berada di sekitar kawasan sebuah tasik yang terletak di Kampung Ahmad Razali Tambahan, Dengkil tidak menjalankan sebarang aktiviti di dalam atau berhampiran tasik tersebut susulan penemuan seekor buaya dewasa sepanjang kira-kira dua meter semalam.
Menurut Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis, pihaknya telah menerima panggilan berkenaan dengan penemuan tersebut daripada penduduk kampung pada sekitar jam 8.29 malam.
Sejurus selepas itu, pihaknya terus menghantar anggota bergegas ke lokasi penemuan haiwan pemangsa tersebut.
“Sebaik sampai dilokasi, anggota dan pegawai bertugas dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya terus melakukan pemantauan dan didapati benar kejadian terserempak dengan haiwan liar itu seperti yang dilaporkan.
“Berdasarkan maklumat daripada penduduk, telah kelihatan seekor buaya dewasa berukuran dianggarkan sepanjang 2.1 meter di dalam tasik yang dipercayai telah tersesat dari sungai berhampiran,” memetik laporan Kosmo.
Penduduk setempat yang berada di kawasan berhampiran dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di dalam atau berhampiran tasik tersebut atas sebab-sebab keselamatan.
Sumber: Kosmo/My Dengkil