Siakap Keli
Kredit: Bernama

Zaman Virus Ni, Duit Dan Nyawa Sama Penting

Bak membelah kepayang muda, dimakan mabuk, dicampak sayang. Inilah situasi kita saat virus maut melanda sejak lebih setahun yang lalu. Kini rakyat Malaysia telah akur akan kepentingan untuk sentiasa mengimbangi perlindungan kesihatan dan ekonomi. Tanpa kesihatan yang baik maka tiadalah ekonomi yang baik. Begitu juga sebaliknya.

Jika kita imbas kembali disaat awal virus ini menyerang negara, Perintah Kawalan Pergerakan terpaksa dikuatkuasakan. Ia sebagai usaha untuk membendung penularan, tetapi dalam masa yang sama hampir semua kegiatan ekonomi terpaksa ditutup kecuali beberapa sektor yang dibenarkan beroperasi.

Namun berkat usaha bersama pihak awam, swasta dan rakyat, PKP yang dilaksanakan ketika itu berjaya menurunkan jumlah kes positif harian. Namun begitu, penutupan sektor ekonomi telah menyebabkan negara kehilangan berpuluh bilion ringgit. Tidak boleh dibayangkan jika sekatan penuh dilanjutkan lagi terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil.

Fokus pada waktu itu adalah untuk memastikan orang ramai tidak kehilangan mata pencarian dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi telah pun diperkenalkan untuk meringankan beban rakyat.

Sedikit demi sedikit, pembukaan sektor ekonomi telah mula merancakkan kembali kegiatan ekonomi dalam negara. Syarikat-syarikat tempatan memulakan usaha pemulihan perniagaan mereka dan ramai di antara mereka juga yang telah mentransformasikan perniagaan ke arah e-dagang.

Dalam kita mengemudi negara ke arah endemik, semua pihak masih perlu memastikan pematuhan SOP dilaksanakan, tambahan dengan ancaman varian baharu, Omicron. Namun, pada masa yang sama kita tidak boleh menjalani hari-hari mendatang dengan rasa takut dan bimbang. Apa yang penting ialah untuk memastikan perlindungan kesihatan dan aktiviti ekonomi bergerak seiring dan sekata.

Ya, seiring, sekata bak lagu dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Lagu dendangan Mia Palencia dan Chubb-E sudah ke udara sejak awal November yang lalu bertujuan memberi kesedaran kepada semua pihak tentang kepentingan perlindungan kesihatan dan ekonomi. Lagu tersebut memang sangat hip dan gandingan pertama kali Mia Palencia dan Chubbe-E memang sangat serasi. Cuba korang tengok video muzik Seiring, Sekata ni dan korang dengar sendiri.

Kita masih belum menang, tapi kita pasti akan menang. Jagalah SOP, tidak kira siapapun anda.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)