Siakap Keli

BloomThis Berkembang Mekar Dengan Operasi Gudang Baharu

PETALING JAYA, 16 Disember 2021 – BloomThis, peneraju pasaran dalam industri jualan bunga dan hadiah berasaskan permintaan mengembangkan operasinya ke sebuah gudang berkeluasan 40,000 kaki persegi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Langkah berani yang dilakukan sewaktu kebanyakan perniagaan berdepan cabaran kerana PKP tersebut, menjadi satu peristiwa bersejarah buat BloomThis sebagai sebuah perniagaan hadiah berasaskan permintaan secara e-dagang.  

Penyepaduan antara teknologi dengan pengalaman membeli hadiah menjadi tunjang kepada kecemerlangan operasi BloomThis. Sementara, gabungan kreativiti dan kecekalan pula menjadi rahsia di sebalik peluasan perniagaan BloomThis yang kini berjaya beroperasi dari tapak gudang mereka sendiri di Petaling Jaya. Dengan keluasan 40,000 kaki persegi, gudang tersebut menempatkan beberapa buah bilik sejuk bagi menyimpan bunga-bungaan dan barangan bukan bunga seperti aiskrim, wain dan barangan usaha sama dengan jenama tempatan dan antarabangsa lain. Ruang yang sama juga digunakan untuk semua operasi BloomThis, daripada pengurusan sehingga kepada penyimpanan dan pejabat perniagaan, untuk melancarkan operasi syarikat. 

“Gudang ini menjadi saksi kepada kemajuan BloomThis sebagai sebuah perniagaan sejak kami mula beroperasi. Harapan dan impian kami adalah untuk terus berkembang sambil  mengukir senyuman di wajah pelanggan kami apabila mereka membeli dan menerima hadiah kerana itu adalah sebahagian dari misi kami untuk mencipta detik-detik kebahagiaan buat pelanggan BloomThis,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif BloomThis, Giden Lim.

Kata Lim lagi, “Di BloomThis, kami akan memastikan setiap hadiah digubah secara mewah dan menggunakan bunga-bungaan yang bermutu dengan integrasi teknologi yang memacu kecemerlangan operasi dan pengalaman memberi hadiah di kalangan pelanggan kami. Gabungan semua elemen ini menjadi tunas kepada nilai dan pengalaman terunggul pelanggan-pelanggan kami. Tahun ini ialah tahun yang sangat mencabar buat kami. Namun, kami bersyukur kerana di sebalik cabaran-cabaran yang muncul sewaktu tempoh PKP ini, BloomThis masih mampu menggandakan pertumbuhan syarikat, menambah bilangan anggota pasukan kami dan menyumbang kepada ekonomi gig dengan menawarkan lebih daripada seribu penghantaran setiap bulan kepada karyawan-karyawan bebas.

Sebagai sebuah perniagaan yang bergantung kepada perjalanan operasi yang cekap, BloomThis memastikan setiap aspek perniagaannya mempunyai komponen teknologi bagi memberikan pengalaman yang terbaik kepada pelanggannya. BloomThis bukan sahaja bergantung kepada teknologi dalam aspek e-dagang melibatkan pelanggannya, tetapi ia juga menyepadukan teknologi dalam operasinya.

Sebagai sebuah perniagaan yang bergantung kepada aktiviti jualan secara bermusim, BloomThis pernah berdepan cabaran apabila kebanyakan kawasan penghantarannya dihadkan dan perniagaannya berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan bunga dari pembekal luar negeri sewaktu tempoh PKP. Bagaimana pun, penjual bunga berasaskan permintaan ini membangunkan pelan perniagaannya dan menginovasikan strategi pemasaran untuk mengembangkan perniagaannya. Ia kini turut berkecimpung dalam penghantaran barangan selain bunga seperti ais krim dan barangan gourmet seperti wain berkualiti terbaik.   

Dengan tawaran pilihan set hadiah mewah yang lebih meluas kepada pelanggan-pelanggannya, gudang BloomThis dijangka akan melonjakkan daya pengeluaran dan hasil jualan dengan memudahkan penyepaduan dan pemenuhan pesanan serta penghantaran jambangan bunga dalam kuantiti yang lebih besar.

Sementara itu, satu acara ramah mesra dengan pengamal-pengamal media turut berlangsung sempena operasi gudang baru tersebut. Tetamu-tetamu yang hadir dibawa melawat sekitar gudang dan mereka turut berpeluang meninjau operasi harian perniagaan. Mereka juga menikmati peluang eksklusif untuk menyertai satu bengkel gubahan bunga dan mengikuti satu panel perbincangan dengan Pengasas Bersama BloomThis, Giden Lim dan Penny Choo bersama dua orang Pengasas Bersama Inside Scoop, Edmund Tan dan Lim Shiew Li. Dua pasangan pengasas bersama ini membincangkan topik “Suami Isteri Berpasukan: Menempa Kejayaan dalam Percintaan dan Perniagaan.”  

Untuk maklumat lanjut mengenai BloomThis, sila kunjungi laman web kami di bloomthis.co atau laman media sosial kami di @bloomthis.

Siti Fatimah