Berikutan fenomena air pasang besar melanda negara, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia telah mengeluarkan notis kepada penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia agar lebih berwaspada.
Menerusi kenyataan dari Jabatan Pengairan dan Saliran yang dikongsikan Bernama TV, fenomena air pasang besar ini dijangka berlaku dalam tempoh empat hari bermula pada 2 Januari sehingga 5 Januari 2022.
Antara kawasan yang berisiko termasuk di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian).
Walaupun kejadian fenomena air pasang besar pada kali ini berskala kecil berbanding bulan November lalu, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya angin kencang, ombak besar dan hujan lebat berlaku secara serentak yang akan menyebabkan banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga ketika melakukan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh berkenaan di kawasan yang terbabit.
Orang ramai juga diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca semasa. Anda perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat sekiranya hujan lebat serta air pasang berlaku serentak dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa.

Sumber : Bernama TV