Siakap Keli
Kredit: BERNAMA

Anak Didakwa Bunuh Ayah Kerana Adik Dapat Harta Pusaka Lebih Banyak

JHARKHAND – Hanya kerana berang dengan pembahagian harta pusaka tanah milik keluarganya yang didakwa tidak adil diagihkan, seorang lelaki telah membunuh bapa kandungnya sendiri menggunakan senjata tajam.

Tragedi ngeri tersebut telah berlaku di daerah Godda dan mangsa merupakan seorang warga emas berusia 70 tahun, Chunni Yadav.

Menurut sumber, suspek merupakan seorang anak sulung kepada mangsa yang dikatakan kecewa dan marah dengan keputusan bapanya yang didakwa bertindak untuk memberikan harta yang banyak kepada adiknya manakala suspek tidak mendapat apa-apa.

Suspek hilang kawalan setelah mengetahui keputusan ayahnya itu sebelum mencapai senjata tajam dari dapur rumah dan mengelar leher bapanya dalam kejadian pada 31 Disember lalu.

Menurut polis, suspek dikenal pasti sebagai Subodh. Polis menyatakan suspek kecewa setelah bapanya membahagikan sebahagian besar tanah pusaka keluarganya kepada adik suspek dan bertindak untuk menuntut hak sama rata olehnya tidak diendahkan mangsa.

Suspek telah berjaya ditangkap dalam masa 24 jam selepas pembunuhan itu. Semasa suspek dipanggil untuk dirakam keterangan, polis telah berasa ragu ke atas keterangan yang diberikan.

Selain itu, polis berjaya menjumpai kain berlumuran darah daripada suspek ketika disoal siasat sebelum berjaya menemui bukti penting yang boleh menyabitkannya sebagai pembunuh bapanya sendiri.

“Semasa suspek disoal siasat, dia menumpahkan kacang yang dimakan dari tangannya sejurus kain dengan kesan lumuran darah ditemui daripadanya sebelum mengaku membunuh bapa dia. Suspek kemudian ditahan dan dihantar ke penjara untuk proses pendakwaan di mahkamah kelak,” kata Superintendan Daerah Godda, YS Ramesh.-

Sumber: Malaysia Gazette

Akhmar Ikmal