Siakap Keli

Datin Seri Heliza Helmi Raih Watikah Pelantikan CDERT MAPIM

BANGI : Satu majlis penyerahan watikah, pemakaian dan kenaikan pangkat kepada  ahli Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) MAPIM telah berlangsung  pada 11 Januari 2022. 

Antara ahli CDERT MAPIM yang dipakaikan pangkat ialah selebriti Heliza Helmi,  sebagai Kapten Bersekutu (PA). 

Sebelum ini, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengorak  langkah ke hadapan dalam perjuangan membantu ummah menerusi penubuhan CDERT MAPIM di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). CDERT MAPIM  Malaysia diterajui oleh Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, Yang Setia Penolong  Pesuruhjaya Bersekutu (PA) Zuhanis Zainol, yang berpengalaman luas dalam kerja  kemanusiaan dalam dan luar negara. 

Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) mula diperkenalkan pada 16 Mac  2006 berdasarkan kepada Arahan Jabatan Bil. 1 tahun di mana semua Pejabat Awam  Negeri dan daerah telah diarah melaksanakan Penubuhan pasukan CDERT di agensi  Kerajaan, Swasta dan Badan Berkanun. 

Tujuan penubuhan CDERT antaranya adalah bagi membantu melaksanakan  tanggungjawab dengan lebih berkesan semasa keadaan kecemasan atau bencana  yang memerlukan perkhidmatan Pertahanan Awam. 

Ia juga akan membantu mengurangkan kesan terhadap sesuatu kecemasan atau  bencana pada peringkat awal. Kesiapsiagaan terhadap sesuatu kecemasan peringkat  awal akan memberi “precaution atau preventive meassure” yang baik kepada pihak  yang terkesan demi jaminan “survival” mangsa. 

Selain Heliza Helmi, adiknya juga iaitu Hazwani Helmi yang juga aktivis MAPIM turut  menyertai CDERT MAPIM dan dipakaikan pangkat Leftenan Bersekutu (PA). 

Heliza Helmi dan Hazwani Helmi sudah lama menjadi aktivis MAPIM dan sudah  mengikuti misi kemanusiaan MAPIM di Syria dan Gaza.

Yang terbaru mereka baru sahaja menyertai Misi Banjir MAPIM dalam membantu  mangsa banjir di Selangor. 

Menurut Penaung CDERT MAPIM, Yang Amat Setia Pesuruhjaya Kehormat (PA)(Dr.)  Sani Araby Dato’ Abdul Alim Araby, penubuhan CDERT MAPIM ini oleh pihak APM  adalah tambahan amanah untuk MAPIM Malaysia giatkan kerja santun masyarakat  dalam negara serta bukti serius dengan gerak kerja sukarelawan yang sentiasa  siapsiaga. 

“Saya dan adik saya bangga dan gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada  CDERT MAPIM. Ini adalah satu penghormatan dan ‘upgrade’ yang sangat besar untuk  kerja-kerja kemanusiaan kami,” kata Datin Seri Heliza Helmi dan adiknya Hazwani  Helmi. Kerjasama erat antara MAPIM dan APM telah lama terjalin. Kerjasama itu bukan  sahaja daripada pertukaran kepakaran antara MAPIM Malaysia dan APM dari segi  perundingan dan maklumat, tetapi perkongsian melalui tenaga personal dan aset-aset  di lapangan. 

Mereka yang berdaftar sebagai ahli CDERT akan diwajbkan menghadiri kursus lima  hari di Pusat Pertahanan Awam di seluruh negara. Jasa APM sebagai frontliner dalam  perang melawan covid juga mendapat perhatian pihak MAPIM dengan memberikan  sumbangan kepada anggota-anggota APM yang memerlukan di seluruh negara.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa