Siakap Keli
Gambar: Mashable SE Asia

Hanya Sebab Tulis Review Resort Seperti Ini, Wanita Dakwa Diugut Saman RM300 Ribu

Sekiranya ingin mencari tempat penginapan bagi tujuan percutian, kita pasti akan melihat setiap ulasan atau ‘review’ berkaitan tempat tersebut sebelum menginap.

Setelah menginap, ada di antara pengunjung yang akan memberikan penilaian atau ‘rating’ termasuk meninggalkan ulasan mereka mengenai pengalaman sepanjang berada di tempat tersebut.

Tetapi, lain pula yang berlaku di sebuah pusat peranginan di  Thailand yang didakwa telah mengugut untuk menyaman seorang wanita yang memberikan ulasan setelah menginap di resort mereka.

Memetik laporan, wanita itu mendakwa telah diugut untuk disaman sebanyak RM377,882.77 (3 juta Bath) dalam tuntutan undang-undang fitnah selepas dia memberikan penilaian sebanyak 6/10 kepada resort berkenaan di sebuah laman web.

Wanita tersebut yang merupakan warganegara Thailand, merasa bingung dengan ugutan yang diberikan oleh pihak resort untuk menuntut saman terhadapnya.

Hal ini kerana dia merasakan bahawa ulasan yang diberikan itu tidak terlalu rendah dan teruk untuk diberi ugutan sedemikian.

Dia diarahkan untuk memadam ulasan negatif tersebut dengan kadar segera selain diminta untuk membayar lebih RM5,000 untuk setiap hari selagi dia tidak patuh kepada perintah tersebut.

”Jika dia tidak memadam ulasan tersebut, dia mesti membayar resort itu sebanyak RM6,297.68 (50,000 Bath) sehari sebagai pampasan dan RM377,882.77 (3 juta Bath) untuk ganti rugi.

”Pihak resort itu juga memintanya menyiarkan permohonan maaf secara terbuka di akhbar selama tujuh hari berturut-turut,” kata peguam di Facebook.

Difahamkan, wanita yang telah menginap di resort tersebut selama satu malam pada pertengahan Disember 2021 itu, memberikan ulasan bahawa pemandangan biliknya hanyalah biasa selain tidak kelihatan ‘baru’ seperti yang telah diiklankan.

“Bilik itu tidak kelihatan baharu seperti yang diiklankan. Saya tidak dapat menghubungi pelayan tetamu dari bilik saya, jadi saya terpaksa turun sendiri. Tidak bersih. Sesetengah kakitangan syif malam tidak begitu membantu,” tulis ulasan itu.

Sumber: Mashable SE Asia

Akhmar Ikmal