Siakap Keli
Gambar: tongapocketguide.com & via Google

“Negara Pasifik Yang Tak Pernah Dijajah….” Fakta Menarik Kepulauan Tonga, Iklim Cuaca, & Geografi Di Sana

Susulan letusan gunung berapi yang terjadi di Tonga, sudah tentu ramai antara anda yang tertanya-tanya mengenai kepulauan ini. Mungkin ada yang tidak tahu di manakah terletaknya negara ini.

Menurut Travel Guide, Tonga terletak di sebelah selatan Samoa dan timur Fiji. Negara ini terdiri daripada gugusan 176 buah pulau yang mana kebanyakannya dikatakan tidak berpenghuni.

Tonga secara geografi

Daripada sudut geografi, kepulauan di sana meliputi kawasan seluas 7,700 km persegi (3,000 batu persegi). Kepulauan utama yang terdapat di sana ialah ‘Eua, Ha’apai Niuas, Tongatapu dan Vava’u.

Gambar: Google Maps

Disebabkan bentuk gunung berapi yang tinggi dan rendah di karang Tonga itulah yang memberikan pulau itu satu watak yang unik. Malah, beberapa gunung berapi di sana dipercayai masih aktif.

1. Pulau Falcon

Pulau ini merupakan sebuah pulau yang berada dalam kumpulan Vava’u. Di sana terdapat gunung berapi tenggelam (submerged) yang boleh meletus secara berkala.

Gunung berapi itu dipercayai sekiranya meletus akan menyebabkan lahar dan abunya naik ke atas aras laut lalu membentuk sebuah pulau yang akan jelas kelihatan tetapi akan hilang apabila letusannya berakhir.

2. Nuku’alofa

Manakala, Nuku’alofa yang terletak di Pulau Tongatapu pula mempunyai perlabuhan yang dilindungi oleh terumbu karang yang turut dipenuhi dengan pokok palma disekitarnya.

Rata-rata pulau di sini dipenuhi dengan kawasan lagun besar tetapi dilaporkan tiada aliran sungai dan hanya pulau kecil yang berada di kelilingnya.

3. Pulau Eua

Pulau ini agak berbukit-bukit dan mempunyai hutan. Malah pulau ini juga turut mempunyai tebing tinggi dan pantai yang indah.

4. Kepulauan Ha’apai

Kredit: Apogeo Spatial

Kepulauan di sini berbentuk melengkung iaitu sepanjang 160 kilometer (km) kira-kira 100 batu dari utara Tongatapu.

Menurut Travel Guide sekali lagi, kepulauan di sini mempunyai pantai yang sangat cantik. Pulau tersebsar yang terdapat di sini adalah pulau Tofua.

Bukan itu sahaja, di pulau ini terdapat gunung berapi aktif dengan tasik berwap panas di dalam lingkaranya.

5. Kepulauan Vava’u

Kepulauan ini pula terletak 90km iaitu kira-kira 50 batu di utara Ha’apai. Kawasan di kepulauan ini mempunyai ciri geografi yang berbukit, hutan lebat dan berselang-seli dengan saluran yang sempit.

Kepulauan ini terkenal dengan sebuah gua yang dipenuhi dengan stalagmit (batu kapur).

Iklim

Sedikit tambahan, iklim cuaca di Tonga adalah lebih sejuk jika dibandingkan dengan kebanyakan kawasan tropika. Oleh itu, masa yang terbaik untuk melawat Tonga adalah bermula dari Mei hingga November setiap tahun.

Bagi bulan Disember sehingga Mac adalah musim di mana hujan lebat sedang berlaku.

Beberapa fakta tambahan menarik mengenai Tonga

1. ‘Pulau Hilang’ terdapat di Tonga

Dalam bahasa Tonga, ‘Fonuafo’ou’ membawa maksud ‘Pulau baru’.

Mengimbas kembali apa yang terjadi pada sekitar tahun 1781 sehingga 1865, terdapat satu laporan yang melaporkan terdapat satu beting besar di pulau Ha’apai. Tetapi pada tahun 1867, British HMS Falcon mengesahkan bahawa beting itu hanyalah sebuah terumbu karang.

Kemudian, pulau itu dikatakan meningkat dari segi ketinggan iaitu daripada 50 meter pata tahun 1867 meningkat kepada 2 kilometer pada tahun 1885.

Sejak daripada itu, wujud pulau baharu yang diberi nama Fonafo’ou. Namun demikian, pada tahun 1894, pulau itu dilaporkan hilang. Tetapi agak mengejutkan apabila dua tahun kemudian, pulau itu muncul kembali dengan paras ketinggian menurun kepada 320 meter.

Akan tetapi pulau itu kembali menghilang dan muncul sekali pagi pada tahun 1949 dan diberi nama sebagai Fonuafo’ou kerana sentiasa berada dalam keadaan ‘menyembunyi’.

2. Ikan Paus sanggup berenang hampir-hampir 3,000 batu hanya semata-mata nak membiak di Tonga

Kredit: tongapocketguide.com

Daripada banyak-banyak sebab orang berkunjung ke Tonga, ini merupakan sebab utama Tonga mendapat perhatian orang ramai.

Di Tonga terdapat spesies ikan paus ‘Humpback’ yang mana ikan-ikan ini sanggup berenang sejauh 4,839 kilometer (km) kira-kira 3,00 batu dari tempat mereka berada iaitu di Antartika.

Ikan-ikan ini akan datang ke Tonga pada Jun hingga Oktober untuk membiar dan kemudiannya kembali ke Antartika semula.

3. Tonga satu-satunya negara di Pasifik yang tidak dijajah

Menjadi kebanggan buat rakyat Tonga kerana negara itu merupakan satu-satunya negara di Pasifik yang tidak boleh dijajah. Malah, orang Tonga sendiri juga dipercayai hanya berada di bawah penjajahan mereka sendiri sebelum menyerahkan semua kuasa mereka kepada British.

Raja Tonga iaitu Tu’i sendiri yang mewujudkan monarki perlembagaan Tonga dengan dibantu oleh seorang pendeta British yang mana selepas itu beliau menjadi Perdana Menteri pertama Tonga.

4. Tidak boleh melakukan apa-apa perkara pada hari Ahad, termasuk bersukan, berniaga atau melakukan sebarang urusan

Kredit: tongapocketguide.com

Jika berbicara tentang perlembagaan dan undang-undang, Tonga mengamalkan undang-undang di mana pada hari Ahad masyarakat tidak dibenarkan berniaga, membuat sebarang urusan mahupun bersukan.

Undang-undang itu merupakan undang-undang Kristian yang masih diguna pakai hingga kini. Namun demikian, perniagaan moden dan beberapa perniagaan lain masih lagi diteruskan.

5. Sistem penomboran yang berbeza dalam bahasa Tonga

Tonga mengamalkan dua bahasa rasmi iaitu bahasa Tonga dan juga bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun cara penomboran di Tonga adalah sedikit berbeza dengan cara normal yang biasa kita ketahui.

Di Tonga untuk setiap barang mempunyai cara untuk menyebut angka yang berbeza. Misalnya jika ingin mengira kelapa, perkataan bagi nombor kelapa adalah berbeza jika dibandingkan dengan angka nombor untuk mengira ikan.

Sumber: Travel Guide &Tonga Pocket Guide

Nadhirah