Siakap Keli
Gambar: Cintahati Fatima/Sinarplus

Fenomena ‘Fitoplankton’ Hasilkan ‘Blue Tears’ Pada Air Laut, Jadi Kilauan Cahaya Kebiruan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Di dunia yang begitu luas ini, begitu banyak perkara atau fenomena unik dan adakalanya pelik berlaku. Terbaru, penemuan unik air laut mengeluarkan kilauan cahaya biru yang cantik didakwa berlaku di Kuala Selangor.

Penemuan luar biasa tersebut dimuat naik oleh pengguna Facebook Cintahati Fatima menerusi satu perkongsian di group Facebook Astronomi & Sains semalam. Jelas kelihatan pantai tersebut ‘diwarnai’ oleh kilauan biru yang bersinar di gigi air.

Menurut beliau dalam perkongsian itu, air mata biru atau ‘Blue Tears’ tersebut didakwa terhasil disebabkan oleh fenomena Phytoplankton (fitoplankton), sejenis alga laut mikroskopik yang mengeluarkan cahaya biru terang.

Untuk lebih mudah difahami, Fitoplankton ini merupakan sejenis tumbuhan marin yang hanyut di permukaan air. Menariknya ia akan menghasilkan pancaran rona biru apabila ia bertindak balas dengan air laut di kawasan hanyutannya.

Credit: Cintahati Fatima/Sinarplus

‘Pantai Air Mata Biru’ di Kuala Selangor

Sementara itu, memetik perkongsian dari Sinarplus, fenomena Air Mata Biru atau Blue Tears ini boleh dikatakan sebagai penemuan ‘luar biasa’ yang berlaku di Kuala Selangor.

Lapor Sinarplus, hal ini diakui sendiri oleh pegawai pelancongan dari Unit Pelancongan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Sazlan Hakeem Mazalan melalui satu temuramah baru-baru ini.

Jelas Sazlan, lokasi unik lagi memukau ini baru sahaja ditemui kira-kira dua tahun yang lalu, iaitu pada awal 2019 oleh beberapa pengusaha pelancongan swasta tempatan yang menawarkan pakej ke Sky Mirror.

Menurutnya, segalanya bermula apabila pengusaha-pengusaha ini memberi makan kepada burung helang di kawasan kuala sungai dan ketika itulah, mereka menyedari akan kewujudan kilauan bercahaya berwarna biru di pantai tersebut.

Maka disebabkan itulah pihak berkuasa tempatan sedia menjalankan kerjasama bersama mereka untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan pilihan unik yang dikenali sebagai Blue Tears.

Menurut Sinarplus lagi, bagi di luar negara pula, fenomena fitoplankton boleh disaksikan di beberapa pantai menarik seperti Mosquito Bay, Puerto Rico; Koh Rong, Kemboja; Pulau Vaadhoo, Maldives dan paling popular di Pulau Matsu, Taiwan.

Credit: Cintahati Faitima/Sinarplus

Sumber: Cintahati Fatima via Astronomi & Sains / Sinarplus

 

Faiz Mustafa