Warga Zimbabwe dikejutkan dengan kejadian ngeri seorang budak lelaki sembilan tahun yang didakwa diseret buaya hingga maut ketika sedang leka bermain dengan sepupunya di tepi sungai pada 13 Januari baru-baru ini, lapor Daily Star.
Merujuk Chronicle, budak lelaki tersebut dan dua lagi sepupunya pada awalnya sedang bermain di pinggir sungai di Somhlatshwayo. Ketika itulah buaya ganas tersebut menyerang dengan membaham kaki budak lelaki tersebut.
“Sepupu dia cuba untuk menyelamatkannya tapi tidak berdaya, mereka hanya mampu melihat buaya tersebut mengheret ke tengah sungai dan terus hilang,” lapor Chronicle memetik Daily Star.
Difahamkan, sebuah pasukan penyelamat dari kampung Nkosiyabo cuba mencari budak tersebut namun tiada sebarang jejak ditemui. Bagaimanapun mayatnya dilapor ditemui pada keesokan harinya.
Sementara itu, polis tempatan Zimbabwe turut mengesahkan kejadian tragis tersebut selepas mayat budak lelaki berkenaan ditemukan.
“Tiga kanak-kanak tersebut bermain di tepi sungai pada 13 Januari lalu dan ketika itu arus sungai agak laju disebabkan hujan lebat. Dan ketika itulah buaya membaham kaki Nkosiyabo (mangsa).
“Dia cuba menjerit meminta tolong dan sepupunya yang berusia 13 tahun dan 14 tahun cuba untuk menyelamatkannya tapi buaya tersebut mengheretnya jauh ke dasar sungai.
“Pakaian dan beberapa bahagian badan mayat kanak-kanak tersebut ditemukan di sepanjang sungai tersebut. Pihak berkusa sedang mengusahakan pencarian buaya tersebut,” tulis laporan itu lagi.
Sumber: Daily Star