Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kemenangan Besar Kanada Dibayangi Kecederaan Ngeri Ismael Kone

Ismael Kone
Kredit: AFP

Kemenangan Besar Kanada Dibayangi Kecederaan Ngeri Ismael Kone

Kanada mencipta sejarah dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia selepas berjaya membelasah Qatar 6-0 di Stadium BC Place.

Pun begitu, perlawanan tersebut juga dicemari dengan kecederaan ngeri yang dialami oleh pemain tengah Kanada, Ismael Kone.

Memetik AFP, pemain itu mengalami patah kaki selepas menerima terjahan keras daripada pemain tengah Qatar, Assim Madibo pada minit ke-51.

Jurulatih Kanada, Jesse Marsch berkata Ismael kini berada di hospital untuk menerima rawatan.

Marsch memberitahu wartawan selepas perlawanan bahawa barisan pemain simpanan Kanada segera menyedari betapa seriusnya kecederaan Ismael.

“Ia berlaku betul-betul di depan kami, dan semua orang boleh dengar bunyi tulang patah.

“Saya belum bercakap dengan Ismael lagi, tetapi dia berada di hospital. Dia bersedia untuk menjalani pembedahan. Saya akan pergi berjumpa dengannya selepas sidang media ini. Kita akan lihat apa keputusan terbaik untuknya.

“Semua orang agak terganggu dengan kejadian itu kerana sifat kecederaan tersebut dan juga kerana Ismael merupakan sebahagian besar daripada jiwa pasukan kami. Ia satu kehilangan besar buat kami," katanya.

Ismael, 24, yang beraksi bersama kelab Serie A Itali, Sassuolo, sempat melambai kepada penonton ketika diusung keluar dari padang sambil diberikan bantuan oksigen.

“Dia melambai kepada penonton dan seolah-olah cuba menenangkan orang lain walaupun dia sendiri cedera. Itu satu gambaran luar biasa tentang keperibadian Ismael.

“Semua orang hancur hati ketika ia berlaku, tetapi kami perlu mencari jalan untuk kekal fokus. Kami tahu Ismael mahu kami menyelesaikan tugas ini.

"Banyak perkara bermain dalam fikiran kami sekarang, kami semua memikirkannya, tetapi kami juga sangat bangga dengan apa yang telah kami lakukan," kata Marsch lagi.

Bagaimanapun, Marsch tidak berpuas hati dengan reaksi bangku simpanan Qatar, yang membantah dengan lantang apabila Madibo dilayangkan kad merah susulan terjahan terhadap Ismael selepas pada mulanya hanya diberikan kad kuning.

Kredit: AFP

“Biar saya jelaskan, pemain itu telah meminta maaf kepada Ismael. Dia datang ke bilik persalinan dan meminta maaf kepadanya dan Ismael memberitahu pasukan bahawa perkara itu telah berlaku.

“Jadi saya tidak fikir dia berniat melakukan terjahan atau mencetuskan situasi seburuk itu. Saya tidak menyalahkannya untuk perkara tersebut.

“Tetapi saya tidak faham reaksi seluruh bangku simpanan mereka yang cuba mencetuskan pergaduhan tentang keputusan kad merah, sedangkan jelas satu kekasaran telah berlaku hingga menyebabkan kaki seorang pemain patah. Itu satu tingkah laku yang pelik," ujarnya.

Penyingkiran Madibo menyaksikan Qatar terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas Homam el-Amin turut dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama kerana menafikan peluang menjaringkan gol.

Kanada kini terikat dengan Switzerland di tangga teratas kumpulan dengan empat mata, namun kelebihan perbezaan jaringan menyaksikan mereka akan muncul juara Kumpulan B sekiranya seri apabila kedua-dua pasukan bertemu di Vancouver pada 24 Jun.