Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pegangan Saham Azam Baki Tidak Melanggar Undang-Undang – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini memaklumkan bahawa pegangan saham di atas nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menunjukkan perkara itu tidak melanggar Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, perkara tersebut dapat disahkan selepas melakukan inkuiri berdasarkan bukti-bukti terkumpul sejak minggu lalu.

“Suruhanjaya Sekuriti telah menyelesaikan inkuiri dan berdasarkan bukti yang dikumpul, kami tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa berlakunya perlanggaran di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA),” kata suruhanjaya itu.

Terdahulu, Tan Sri Azam Baki menafikan segala tuduhan terhadapnya berhubung isu saham dan memaklumkan bahawa akaun saham miliknya telah digunakan oleh adiknya.

Susulan itu juga, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan berkaitan perkara tersebut dan telah merujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: Bernama

Sofea

There's always another side to every story