Siakap Keli

(Video) Makin Canggih, Singapura Bakal Guna Satelit Pula Ganti Sistem Tol Tanpa Palang Sedia Ada

Kesesakan jalan raya di plaza tol sering terjadi terutamanya ketika waktu puncak ataupun di musim perayaan. Kebiasaannnya, masalah tersebut berlaku antaranya berpunca daripada teknologi mengutip bayaran tol yang lapuk ataupun ketinggalan.

Selaras dengan masalah itu, beberapa buah negara telah menjalankan rangkaian sistem ‘tol tanpa palang’ yang akan memudahkan kereta lalu laju tanpa perlu berhenti.

Seperti di Singapura, mereka menggunakan sistem Pelaksanaan Sistem Penetapan Harga Jalan Elektronik (ERP) bagi menggantikan sistem palang tol konvensional.

Lebih menarik, mereka sudah pun menggunakan sistem ini sejak lebih 20 tahun lalu setelah diperkenalkan pada 1998.

Kini, negara itu bersedia untuk berpindah kepada sistem tol yang lebih canggih yang dikenali sebagai NextGen ERP System.

Sistem ini beroperasi dengan menggunakan bantuan Sistem Satelit Navigasi Global (GPS) yang mana akan mengesan berapa jauh sesebuah kenderaan bergerak di jalan-jalan yang sibuk, terutamanya ketika waktu puncak dan mengira kos tol yang perlu dibayar berdasarkan jarak tersebut.

Untuk lebih mudah difahami, semakin jauh anda bergerak menggunakan jalan-jalan sesak ketika waktu puncak, semakin tinggi harga tol yang perlu dibayar.

Berbeza dengan sistem ERP sebelum ini yang berasaskan ”Toll Gate”, kenderaan yang melintasi palang tersebut tidak kira baru bergerak 500 meter ataupun 5 kilometer, akan dikenakan caj yang sama.

Menurut laporan CNA, Singapura merancang untuk mula menggunakan sistem ini pada 2020, bagaimanapun disebabkan pandemik COVID-19, ia tergendala seketika dan mungkin akan dilaksanakan mulai 2023 bagi memberi masa kepada pengguna memasang peranti yang diperlukan pada kenderaan masing-masing.

Sama juga di Dubai, sistem elektronik Salik diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku di Jalan Sheikh Zayed dan telah beroperasi sejak 2007 lagi.

Menurut Pihak Berkuasa Jalan Raya dan Pengangkutan di Dubai, selain daripada mengurangkan kesesakan berlaku di jalan yang sibuk, langkah ini juga dapat meningkatkan hasil negeri.

Sejenis alat yang dikenali sebagai Tag akan dipasang pada cermin kenderaan untuk mengesan pembayaran tol yang dikenakan semasa melalui pintu tersebut.

Caj yang dikenakan adalah sebanyak Dh 4 (RM 4.56) untuk melalui setiap pintu masuk dan jumlah tersebut akan ditolak secara automatik daripada kad yang digunakan.

Sumber: Gov Insider, N UAE

Fathin Nadzira