Siakap Keli
Gambar: iplantz.com

Gemar Makan Kacang Botor? Ketahui Lima Khasiat Mengenai Ulam Ini

Kalau sebut tentang ulam-ulaman sudah tentu ramai antara anda yang gemar makan sayur ulam. Ulam ini merupakan bahagian tumbuhan yang boleh dimakan secara mentah, dicelur, direbus atau distim terlebih dahulu.

Kemudiannya ulam-ulaman ini akan dihidang bersama-sama nasi dan lauk-pauk yang lain. Begitu juga dengan kacang botor yang selalunya dijadikan sebagai ulam untuk dimakan bersama nasi dan lauk. Kacang botor ini sering disalah sebut sebagai kacang botol.

Menerusi satu perkongsian di akaun Twitter rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kacang botor ini sebenarnya mempunyai banyak khasiat terhadap tubuh badan manusia.

Kacang botor atau dengan nama saintifiknya, Psophocarpus tetragonolobus ini dapat memberi khasiat dari sudut kesihatan tidak kira luaran mahupun dalaman.

Menerusi perkongsian itu terdapat lima khasiat kacang botor. Lima khasiat itu adalah seperti berikut.

  1. Kacang botor tergolong dalam kumpulan makanan yang rendah kalori.
  2. Membekalkan kalsium yang tinggi.
  3. Kaya dengan sumber vitamin A dan C.
  4. Satu kacang botor dengan berat 100 gram dapat memberi jumlah tenaga sebanyak 23 kcal.
  5. Kacang botor rendah lemak.

Lima khasiat kacang botor ini adalah sangat baik untuk tubuh badan dan boleh dijadikan sebagai ulam pilihan umum.

Sumber: KKMalaysia

Nadhirah