Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Newshub

Lelaki Pakai ‘Face Mask’ Jadi Lebih ‘Mengancam’ Di Mata Wanita – Kajian

Pelitup muka menjadi alat perlindungan yang wajib dipakai oleh semua orang sejak pandemik bermula dua tahun lalu. Bahkan, kita mungkin akan merasa janggal jika tidak memakainya ketika keluar dari rumah.

Menariknya, satu kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari Cardiff University’s School of Psychology mendapati bahawa wanita menilai wajah lelaki sebagai lebih menarik apabila memakai pelitup muka.

Memetik laporan Chronicle Live, hasil kajian menunjukkan bahawa lelaki dianggap lebih kacak jika mulut dan hidung mereka ditutup.

Menerusi kajian tersebut, para penyelidik memaparkan 40 wajah lelaki yang mempunyai ‘daya tarikan rendah hingga tinggi’ kepada 43 wanita. Setiap lelaki memakai pelitup muka kain, pelitup muka pembedahan, menutup muka mereka dengan buku dan tidak menutup muka.

Keputusannya, wajah yang dianggap paling menarik ialah apabila lelaki memakai pelitup muka pembedahan.

Mereka juga berkata wajah lelaki lebih menarik apabila ditutup dengan kain berbanding tidak memakai apa-apa di muka mereka.

Penyelidikan yang dijalanakn pada Februari 2021 itu bertujuan untuk melihat sama ada wabak COVID-19 telah mengubah perasaan dan sikap mengenai pelitup muka. Ia susulan penyelidikan di Jepun dari 2016 yang mendapati pelitup muka menjadikan lelaki kurang menarik.

Pengarang bersama kajian itu, Dr Michael Lews berkata hasilnya bertentangan dengan penyelidikan pra-pandemi di mana pelitup muka dianggap sebagai seseorang itu mempunyai penyakit dan perlu dielakkan.

“Penyelidikan semasa menunjukkan pandemik telah mengubah psikologi kita dalam cara kita melihat pelitup muka. Apabila kita melihat seseorang memakai pelitup muka kita tidak lagi berfikir ‘orang itu ada penyakit, saya perlu menjauhkan diri,” katanya.

Sumber: Chronicle Live

Sofea

There's always another side to every story