Seorang guru tarian didakwa telah merogol dan mencabul tujuh orang pelajarnya yang masing-masing berusia sekitar 12 hingga 15 tahun, memetik laporan Makassar Terkini.
Menurut Ketua Polis Kota Malang, Budi Hermanto, guru lelaki berusia 37 tahun itu ditahan baru-baru ini kerana dipercayai melakukan penderaan seksual terhadap tujuh remaja bawah umur.
Difahamkan, sejumlah enam orang dipercayai telah disetubuhi oleh guru itu manakala seorang lagi tidak disetubuhi tetapi telah dicabuli. Hal ini menjadikan keseluruhan mangsa seramai tujuh orang.
Budi Hermanto semasa sidang media berkata, suspek tersebut dikatakan bekerja sebagai seorang guru di studio tari di daerah Klojen, Kota Malang Indonesia.
Manakala kesemua mangsa yang terlibat pula adalah terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah rendah dan juga pelajar lain di studio tari itu.
Menurut pengakuan salah seorang mangsa, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sebanyak dua hingga tiga kali terhadap setiap mereka.
“Ada juga yang dirogol dan dicabuli dua kali, malah tiga kali.
“Hanya sebab terperdaya dengan janji bahawa mereka akan menjadi penari yang terbaik, mereka memilih untuk melakukan ritual ini,” jelas Budi.
Guna teknik meditasi untuk rogol mangsa
Dalam pada itu, suspek juga menggunakan kaedah yang ‘pelik’ untuk memenuhi nafsu buasnya iaitu dengan menjalankan ritual meditasi terhadap mangsa.
“Modus operandi yang dilakukan oleh si suspek terhadap mangsa adalah dengan melakukan ritual ‘meditasi’ supaya pelajar studio dapat menari dengan lebih baik.
“Kemudiannya, mangsa akan dibawa ke tingkat dua studio di mana mereka akan dicabuli dan disetubuhi secara seksual,” terang Budi Hermanto.
Tambah Budi, modus yang dilakukan suspek adalah dengan berpura-pura bertafakur. Sekiranya mangsa menurut perintah, dia akan dijanjikan menjadi seorang penari yang baik.
Walau bagaimanapun, remaja bawah umur yang ditafakurnya secara berpura-pura itu akhirnya menjadi mangsa nafsu buas suspek terbabit.
Ekoran kejadian itu, suspek dikenakan tindakan undang-undang di mana dia perlu menjalani hukuman penjara selama 15 tahun di Indonesia.
Tambah laporan, pihak polis meminta agar individu lain yang menjadi mangsa diharap dapat melaporkan segera perkara tersebut kepada Polis Kota Malang.
Sumber: Makassar Terkini