Siakap Keli
Gambar: Reader's Digest

Ternyata Tak Semua Bungkusan Makanan Yang Kembung Itu Tidak Elok, Tetapi Anda Perlu Berhati-hati

Jika anda seorang yang gemar membeli barangan keperluan dapur sudah pasti anda pernah terjumpa dengan bungkusan makanan yang kembung.

Selalu bila kita nampak bungkusan itu kembung mesti kita akan letak balik dan tak jadi nak beli barang itu. Siapa sahaja yang nak beli barangan yang tidak diketahui status dan sebab mengapa bungkusan itu kembung.

Tetapi sebenarnya tak semua bungkusan makanan yang kembung itu tidak elok untuk dibeli. Ada masanya bungkusan makanan yang kembung itu mempunyai sebab-sebabnya yang tertentu.

Menurut Reader’s Digest, setiap pembungkusan makanan yang kembung tidak bermakna makanan di dalamnya berbahaya untuk dimakan, kata Zhang seorang profesor Sains makanan dan pakar keselamatan di Institut Teknologi Illinois menerusi Reader’s Digest.

Bagi makanan yang mudah rosak seperti keju dan sosej, ia selalunya dibungkus dengan sedikit atau tiada udara langsung bagi menghalang pertumbuhan mikroorganisma.

Gambar: Johnson Ville

Tetapi hal ini berbeza dengan kerepek kentang yang dibungkus dengan jumlah udara tambahan di dalamnya yang bertujuan untuk mengekalkan tekstur dan mengelakkan daripada berlakunya kerosakan.

Tetapi jika anda ingin tahu, sebenarnya di dalam plastik kerepek kentang, angin yang diletakkan bukanlah angin biasa. Angin tersebut ternyata gas nitrogen.

Menurut satu artikel di laman Reader’s Digest gas yang terdapat di dalam bungkusan kerepek kentang itu adalah gas nitrogen.

Sebenarnya gas nitrogen ini bertindak sebagai bahan pengawet yang melindungi kualiti keropok anda. Sekiranya plastik keropok anda diisi dengan udara biasa, kualiti keropok anda boleh terjejas sekali gus merosakkan produk tersebut.

Selain itu, sekiranya anda tinggal di kawasan yang beraltitud tinggi, bungkusan makanan mungkin akan kembung kerana tekanan udara di dalam bungkusan lebih tinggi jika dibandingkan dengan tekanan udara di luar bungkusan makanan iaitu tekanan udara persekitaran luar.

Dalam kes ini makanan yang berada di tempat tinggi dan kembung bukanlah makanan yang tidak elok untuk dimakan.

Tetapi ada juga sesetengah kes yang mana jika pembungkusan makanan itu kembung ia mungkin kerana mikroorganisma yang terdapat di dalam makanan mudah rosak dan ia menghasilkan gas karbon dioksida.

Sekiranya makanan jenis ini sudah mengalami pembungkusan yang gelembung, ia tidak baik untuk dimakan kerana dibimbangi keracunan makanan.

Gambar: via Google

Makanan mana yang kerap terjejas?

Menurut Zhang rata-rata pembungkusan makanan yang kembung boleh terjadi terhadap semua jenis makanan. Tetapi makanan kering dan rendah kelembapan seperti kismis atau mentega kacang selalunya tidak mengalami masalah ini.

Hal ini dikatakan demikian kerana, kandungan kelembapan di dalam makanan ini adalah jauh di bawah yang diperlukan mikroorganisma untuk membuatkan bungkusan makanan itu kembung. Untuk ketahui dengan lebih lanjut berkenaan makanan yang anda ragui, boleh layari laman ini.

Apa yang boleh dilakukan untuk kekal selamat?

Bagi mengelakkan anda daripada tersalah membeli makanan yang mempunyai bungkusan seperti ini, Zhang ada mencadangkan beberapa cadangan.

1. Jangan beli langsung sebarang bungkusan makanan yang kembung.

2. Simpan makanan anda dengan betul di dalam tempat yang sesuai.

3. Elakkan bungkusan makanan daripada haba yang melampau seperti terik cahaya matahari.

4. Sentiasa peka dengan tarikh luput makanan sebelum memakannya.

5. Walaupun tarikh luput masih lagi seminggu atau dua minggu belum tamat, tetapi sudah mempunyai bungkusan yang kembung, terus buang makanan itu untuk keselamatan.

Sumber: Reader’s Digest 1 & Reader’s Digest 2

Nadhirah