Siakap Keli

(LIVE) TERKINI: Keadaan Makin Genting, Misi Menyelamatkan Rayan Berada Di Fasa Terakhir

Pihak penyelamat dikatakan telah sampai ke fasa terakhir dalam proses menyelamat seorang kanak-kanak lima tahun yang terperangkap selama empat hari setelah jatuh ke dalam perigi di wilayah Shafchaoun, Maghribi, lapor Arab News.

Menurut laporan, usaha untuk sampai ke posisi keberadaan Rayan yang jatuh sedalam 32 meter (100 kaki) kini berdepan saat genting dan pihak penyelamat berdepan misi yang rumit untuk mengeluarkan kanak-kanak malang itu.

BACA: Empat Hari Terperangkap Dalam Perigi, Misi Selamatkan Rayan Trending Di Sosmed

Bagi memastikan Rayan terus bertahan, pihak penyelamat memetik media Maghribi telah berjaya menghantar oksigen dan air ke dasar perigi pada petang Khamis.

Semalam, pasukan penyelamat telah memasukkan tiub bagi menahan longsoran tanah sementara mereka menggali terowong untuk sampai ke posisi Rayan. Namun, usaha tersebut tidak berjaya ekoran keadaan tanah yang tidak stabil.

Salah seorang ketua operasi menyelamat, Abdelsalam Makoudi ketika ditemui Arab News berkata, mereka berada di peringkat akhir dan sedang dalam proses untuk menggali terowong tiga meter bagi mengeluarkan Rayan dengan selamat.

BACA: (LIVE) TERKINI: Berbaki Kurang 2 Meter Sahaja Lagi, Proses Menarik Keluar Rayan Oleh Pasukan Penyelamat

Namun, operasi tersebut bertambah mencabar dengan campuran lapisan berbatu dan berpasir serta risiko tanah runtuh yang mugkin berlaku.

“Kami hampir berjaya. Setelah tiga hari bekerja tanpa henti, keletihan mula terasa, namun pasukan penyelamat kini masih bertahan,” katanya memetik laporan Arab News.

Sementara itu, Ketua Pelindungan Sivil yang berada di tempat kejadian, Abdel Hadi Tamrani berkata kepada Arab News, keadaan bentuk muka bumi di tempat kejadian memaksa pasukan penyelamat untuk berehat dari semasa ke semasa.

“Lebih dalam kami gali, lebih besar risiko runtuhan. Jadi untuk memastikan keselamatan pengendali jengkaut, kami terpaksa berehat pada masa tertentu.

“Operasi ini sangat sensitif, kami dalam proses menahan bahagian paling dalam terowong sebelum menghantar pasukan khas untuk menggali lubang empat meter secara melintang dan sampai ke tempat keberadaan Rayan,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang keadaan mangsa, Tamrani berkata Rayan tidak makan atau minum dan mungkin telah koma, tetapi kami “masih berharap dia masih hidup.”

Tambah beliau, helikopter Angkatan Tentera Diraja telah bersedia untuk mengangkut kanak-kanak itu secepat mungkin ke unit perubatan terdekat sejurus dia dikeluarkan.

Mengimbas kembali peristiwa petang Selasa, ibu Rayan memberitahu media tempatan bahawa dia telah mencari Rayan di merata tempat selepas menyedari kehilangannya.

Berita lanjut menyusul.

Tonton secara langsung proses menyelamatkan Rayan di sini:

Sumber: Arab News

Eyla Azri